“Ini satu tragedi kemanusiaan. DaIam soal tuntutan keadilan ini, ia wajar dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),”

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, ia penting bagi Malaysia, serta negara yang terlibat menuntut keadilan sewajarnya terhadap nahas yang berlaku.

“Ini boleh dianggap sebagai satu kezaliman yang dilakukan terhadap negara yang terlibat, kepada semua penumpang MH17,”

“Ini saya anggap ini satu jenayah. Jenayah terhadap manusia. Saya rasa tidak ada cara yang paling sesuai daripada memperoleh bukti yang cukup, selain daripada bawa ke ICC,” ujar beliau ketika ditemui di Astro Awani.

Sambil memuji kebersamaan ahli politik semasa membentangkan usul khas MH17 baru-baru ini, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia terus bersatu tidak mengira latar belakang agama, bangsa dan juga ideologi politik.

“Dan ini telah ditonjolkan oleh ahli-ahli parlimen di mana satu usul telah dibawa ke Parlimen dan diberikan sokongan oleh tanpa mengira ideologi politik masing-masing,” ujarnya.

Pada masa sama, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani kes MH17 turut mendapat pujian, khususnya, dalam urusan membawa pulang jasad mangsa ke tanah air.

“Yang paling penting ialah untuk memastikan bahawa jenazah boleh dibawa pulang ke Malaysia dengan secepat mungkin dan satu sambutan khas diadakan bagi member penghormatan penuh kepada yang terlibat,” tambahnya lagi.

Perdana Menteri semasa lawatannya ke Amterdam baru-baru ini mengumumkan Malaysia akan mengadakan hari berkabung negara untuk nahas MH17 sebaik sahaja mayat dan jenazah mangsa warga Malaysia tiba di tanah air.

Ia khusus bagi seluruh negara berkabung untuk mangsa yang terkorban dalam nahas itu, dan untuk memberi penghormatan kepada mereka.