MALAYSIA
Rumah Ngaji: Walau pangkat sudah tinggi, masih boleh belajar al-Quran - Hussamuddin

Hussamuddin bercakap kepada pemberita memberikan perkembangan mengenai inisiatif pembelajaran al-Quran yang mula dijalankan sejak tahun 2012. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Gerakan Rumah Ngaji yang dirintis pada tahun 2012 berhasrat menyediakan platform seluruh Malaysia untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang mempelajari al-Quran tanpa rasa segan silu.
Ringkasan AI
- Tujuan Penubuhan Rumah Ngaji: Ditubuhkan pada 2012 untuk menyediakan ruang pembelajaran al-Quran secara inklusif dan terbuka, tanpa mengira latar belakang atau status sosial.
- Impak & Perkembangan Gerakan: Kini terdapat lebih 1,200 Rumah Ngaji aktif dengan ratusan peserta; ramai yang bermula dari sifar kini menjadi penyampai ilmu dan agen perubahan komuniti.
- Konvensyen & Halatuju: Konvensyen pertama menghimpunkan 1,000 peserta secara sukarela, meneguhkan peranan Rumah Ngaji sebagai pusat transformasi masyarakat berteraskan tadabbur al-Quran.
"Menerusi Rumah Ngaji ini, masyarakat boleh berkumpul di sesebuah rumah untuk menghayati al-Quran dan menukar cara hidup yang berpaksikan kitab suci itu.
"Kini Alhamdulillah kita sudah ada 1,200 Rumah Ngaji yang aktif di seluruh negara dengan ratusan peserta di setiap lokasi. Ramai bermula dari 'kosong' dan sekarang menjadi penyampai ilmu," ujar Hussamuddin selepas menghadiri Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia yang julung kali diadakan, menghimpunkan hampir 1,000 peserta dari seluruh pelosok negara, menyatukan dan meneguhkan hala tuju gerakan ini.
"Menariknya, semua peserta hadir atas inisiatif sendiri, menanggung kos perjalanan dan penginapan demi berkongsi pengalaman serta mencari jalan memperkasa peranan Rumah Ngaji dalam komuniti masing-masing.
"Malah ada yang menginfakkan harta, menyediakan ruang dan menyumbang ilmu untuk menjayakan pusat pengajian al-Quran percuma ini. Kini ramai melalui transformasi diri sekali gus membangunkan ummah.
"Kita juga mahu umat Islam tadabbur iaitu memahami maksud ayat-ayat dibaca dan mengamalkannya dalam kehidupan harian, tidak cukup sekadar membaca atau menghafal," jelasnya.
Gerakan Rumah Ngaji kini disasarkan untuk diwujudkan di setiap kawasan perumahan, sekolah, universiti dan pejabat, malah menjadi pusat perubahan masyarakat berteraskan akhlak dan pemikiran al-Quran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami