P. Pinang beri kerjasama penuh kepada SPRM siasat pegawai kanan kerajaan negeri

Chow berkata isu itu sebenarnya telah dibangkitkan dan diberi penjelasan semasa Persidangan DUN Pulau Pinang pada November tahun lepas dan penjelasan yang diberikan ketika itu dianggap memuaskan. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara bebas berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri itu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi ruang penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kanan kerajaan negeri tanpa campur tangan.
- SPRM telah membuka kertas siasatan susulan pendedahan oleh seorang ADUN di DUN berkaitan penggunaan dana zakat untuk pembelian tanah, dan sedang dalam proses penelitian dokumen serta rakaman percakapan.
- Pegawai kanan kerajaan negeri yang terlibat masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan, dengan Kerajaan Pulau Pinang berpuas hati dengan penjelasan sebelum ini dan tidak merasa perlu memanggilnya untuk penjelasan lanjut.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
SPRM dilaporkan berkata kertas siasatan itu dibuka susulan pendedahan dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lepas.
Menurut SPRM, pasukan siasatan telah hadir ke beberapa pejabat disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan kesemua bahan itu kini dalam proses penelitian, dan selain itu SPRM turut merakamkan percakapan dua individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Chow berkata isu itu sebenarnya telah dibangkitkan dan diberi penjelasan semasa Persidangan DUN Pulau Pinang pada November tahun lepas dan penjelasan yang diberikan ketika itu dianggap memuaskan.
Beliau bagaimanapun berkata isu itu dibangkitkan semula baru-baru ini sehingga mendorong SPRM membuka siasatan rasmi.
Chow ketika mengulas kedudukan pegawai kanan itu berkata individu berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan.
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri memanggil pegawai itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut selain perbincangan di DUN sebelum ini, beliau berkata ia tidak perlu kerana kerajaan negeri berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


