GEORGE TOWN: Rumah Takdir. Itulah nama yang dipilih oleh bekas Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk rumah kediamannya selepas bersara sebagai pemimpin nombor satu negara pada tahun 1970.
Rumah dua tingkat itu dibeli pada harga RM180,000 dengan menggunakan wang ganjaran yang diperoleh bagi tempoh berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Pada asalnya rumah itu terletak di No 16, Ayer Rajah Road, Pulau Tikus di sini, namun nama jalan ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman sebagai pengiktirafan kepada Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu itu.
Rekaan klasik kediaman bertemakan 'reka bentuk Inggeris' dengan tanah berkeluasan sekitar 19,651.07 meter persegi (64,472 kaki persegi).
Rumah Takdir ini cukup cantik bukan sahaja ruang dalaman tetapi juga bahagian luarnya.
Semua ruang dalaman dicat warna putih, lantai berwarna coklat dan dari segi hiasan dinding, kebanyakannya gambar semasa Almarhum Tunku bersama pemimpin dan rakyat, sewaktu menjadi Perdana Menteri.
Untuk bahagian luar rumah, terdapat kawasan lapang berumput dan beberapa pokok di sekeliling rumah. Kebiasaannya kawasan lapang dijadikan tempat berkumpul orang ramai pelbagai kaum dan majlis yang diadakan.
BACA KANDUNGAN EKSKLUSIF ASTRO AWANI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2022, DI SINI
HIMPUN PELBAGAI KAUM
Berkongsi sejarah Rumah Takdir, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff memberitahu Bernama, beliau antara rakan terdekat yang menyaksikan bagaimana Rumah Takdir menjadi saksi serta 'markas' Almarhum Tunku menyemai semangat perpaduan kaum.
Mohd Yussof yang ketika itu berusia sekitar 50-an berkata, beliau sering dipanggil ke rumah berkenaan untuk beberapa urusan antaranya berkaitan buku dan artikel dalam akhbar, malah sering melihat masyarakat dari pelbagai kaum datang khusus untuk berjumpa dengan Almarhum Tunku.
"Selepas Tunku bersara, beliau memilih untuk tinggal di Pulau Pinang kerana bagi Tunku, negeri ini begitu dekat dengan hatinya. Beliau pada mulanya tinggal di sebuah rumah teres di Western Close namun selepas itu ditawarkan oleh seorang rakannya sebuah rumah di Ayer Rajah Road.
"Ketika itu Almarhum Tunku baru sahaja menerima ganjaran atau sagu hati daripada kerajaan selepas bersara sebagai Perdana Menteri dan beliau terus membeli rumah berkenaan dengan menamakannya Rumah Takdir," katanya.
TIDAK PERNAH SUNYI
Rumah Takdir tidak pernah sunyi kerana selain dijadikan sebagai 'pusat pertemuan' pelbagai kaum, ia juga sering menjadi lokasi pertemuan Almarhum Tunku dengan pemimpin besar dalam dan luar negara.
Menurut Mohd Yussof, Almarhum Tunku sentiasa menyambut baik kehadiran orang ramai tanpa mengira batas kaum dan agama ke rumahnya.
"Paling meriah pada setiap 8 Februari kerana masyarakat berbilang kaum datang dengan masing-masing mengenakan pelbagai fesyen pakaian dan membawa banyak juadah untuk sama-sama meraikan sambutan hari ulang tahun kelahiran Almarhum Tunku.
"Tunku juga sebenarnya sangat gembira kerana Rumah Takdir itu antara lain menjadi tempat memupuk semangat perpaduan kaum. Jika ada sebarang keraian atau majlis, Almarhum akan menyampaikan ucapan mengingatkan supaya masyarakat terus sentiasa bersatu hati.
"Almarhum juga mahu orang ramai daripada pelbagai kaum sentiasa ingat bahawa menerusi perpaduan kaumlah negara ini dapat mengecap nikmat kemerdekaan. Mereka harus menerapkan nilai perpaduan tersebut sehingga ke anak cucu supaya ia menjadi kekuatan negara," katanya.
Mohd Yussof menambah, ketika itu, masyarakat memang mementingkan perpaduan dan masing-masing bertolak ansur antara satu sama lain dalam usaha memastikan negara terus maju dan bebas daripada cengkaman penjajah.
Melihat kepada sejarah Rumah Takdir, beliau berpendapat adalah wajar sekiranya kediaman itu dijadikan sebagai 'Rumah Perpaduan' kerana di situ lahirnya penyatuan kaum dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang sekian lama diterapkan oleh Almarhum Tunku.
Beliau dimaklumkan rumah itu yang diwarisi oleh anak Almarhum dijual kepada seorang pembeli sebelum dibaiki di bahagian dalamnya kerana lama tidak didiami.
Menjadi harapan beliau agar Kerajaan Pusat mengambil pendekatan untuk membeli daripada pemilik berkenaan dan memulihara Rumah Takdir bagi memperingati jasa dan pengorbanan Almarhum Tunku.
"Kediaman itu merupakan peninggalan Almarhum yang perlu dipelihara demi memperingati pengorbanan Almarhum kepada negara suatu ketika dahulu malah ia adalah tempat berkumpul masyarakat dalam usaha memupuk perpaduam kaum," katanya menambah, kediaman berkenaan menjadi pilihan kediaman Almarhum Tunku sebelum mangkat pada tahun 1990.
LOKASI MUALAF BERKUMPUL
Sementara itu, aktivis warisan Khoo Salma Nasution pula berkata, beliau difahamkan Rumah Takdir turut menjadi lokasi berkumpul mualaf.
Menurut beliau, Almarhum Tunku yang turut dikenali sebagai 'Bapa PERKIM' iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia sentiasa menjadi tumpuan mualaf dan Rumah Takdir itulah tempat mereka berkumpul selepas Tunku bersara.
"Selain rumah perpaduan, rumah berkenaan juga adalah tempat mualaf berkumpul untuk bertemu Tunku bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa, jadi saya berpendapat kediaman itu perlu dikekalkan sebagai rumah warisan.
"Kediaman itu perlu terus menjadi lambang perpaduan kaum kepada semua masyarakat terutama untuk generasi muda supaya mereka tahu kejayaan sekarang ini adalah hasil perpaduan kaum generasi terdahulu," katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang.
Selain terdapat cadangan untuk menjadikan Rumah Takdir sebagai muzium, baru-baru terdapat laporan yang menyebut kediaman itu juga dibuka untuk jualan pada harga RM62 juta dan boleh disewa pada harga RM25,000 sebulan oleh pihak persendirian mahupun organisasi.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
-- BERNAMA
Bernama
Wed Aug 31 2022
Rumah dua tingkat itu dibeli pada harga RM180,000 dengan menggunakan wang ganjaran yang diperoleh bagi tempoh berkhidmat sebagai Perdana Menteri. -Gambar fail/Google Maps
Pelajar PhD USIM ambil ujian di sebalik runtuhan di Gaza
Pelajar PhD USIM warga Palestin nekad menjalani Ujian Kelayakan yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat walaupun berdepan risiko dibom tentera Zionis pada bila-bila masa.
UMNO dan BN dokong calon PH demi Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid
Presiden UMNOsedar taktik pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan parti pimpinannya dengan parti komponen Pakatan Harapan itu.
PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertandingan empat penjuru
Keempat-empat calon itu ialah Khairul Azhari Saut (PN), Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
3 maut, 5 parah nahas dua pacuan empat roda
Tiga maut, lima parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang kira-kira jam 12.30 pagi tadi.
Penunjuk perasaan pro-Palestin di Paris kepung universiti
Penunjuk perasaan pro-Palestin mengepung bangunan dan kawasan hadpaan Universiti Sciences Po yang berprestij di Paris pada Jumaat.
Piala Thomas: Zii Jia pamer magis tarik perhatian ramai di Chengdu
Zii Jia merekodkan kemenangan ke atas Lee Cheuk Yiu dalam aksi yang mengambil masa 45 minit menghadirkan saat-saat terbaik dalam saingan pembukaan ini.
Youth All Girls raih gangsa di Amerika Syarikat
Pasukan sorak Malaysia Youth All Girls raih gangsa di The 2024 International Cheer Union World Cheerleading Championships (ICU JWCC) di Florida, Amerika Syarikat pada Khamis.
Perkembangan proses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuka tirai hari ini dengan bermulanya proses penamaan calon pagi tadi di Dewan Serbaguna Dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Firdaus Azil ada perincian untuk dikongsikan jam ini.
Firdaus Azil ada perincian untuk dikongsikan jam ini.
Malaysia-China bincang perkukuhkan kerjasama sektor pendidikan
Malaysia dan China membincangkan inisiatif strategik bagi memperluas serta memperkukuh jalinan kerjasama sektor pendidikan tinggi antara Kuala Lumpur-Beijing sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Perdana Menteri ke Riyadh sempena mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi sempena mesyuarat khas forum sedunia World Economic Forum (WEF) bermula 27 hingga 29 April ini.
Rumah Takdir 'markas' Tunku Abdul Rahman pupuk semangat perpaduan kaum
Rumah dua tingkat itu dibeli pada harga RM180,000 dengan menggunakan wang ganjaran yang diperoleh bagi tempoh berkhidmat sebagai Perdana Menteri.