Sebuah rumah di Kampung Paya, Bukit Tumbuh, Seberang Takir, Terengganu musnah dalam kebakaran selepas disambar petir.

Kejadian berlaku kira-kira 10.15 malam Ahad ketika hujan lebat.

Menurut saksi, Muhammad Isa Abu, dia melihat petir menyambar rumah berkenaan sebelum api marak dengan pantas.

"Masa kejadian berlaku petir, lepas itu terus blackout (gelap). Saya kemudian melihat asap keluar dari rumah itu. Saya kemudian menelefon orang rumah saya supaya telefon bomba. Lepas itu tidak sampai lima minit saya lihat api terus marak," katanya.

Muhammad Isa berkata, ketika kejadian rumah berkenaan tidak berpenghuni. kerana pemilik rumah sekeluarga bertolak ke Seremban, Negeri Sembilan, kira kira jam 12 tengah hari Ahad.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat PBK II Badrol Hisham Othman berkata, dua jentera bomba bersama 14 anggota dari Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh 12 minit.

"Ketika kami sampai di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan 90 peratus rumah. Maklumat yang diterima daripada orang awam, menyatakan berlaku kebakaran berkenaan dipercayai dicetuskan oleh kilat kerana ketika itu sedang hujan lebat," katanya.

Beliau berkata, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta anggaran kerugian.