JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperkenalkan Rumah Transit Bangsa Johor tahun ini sebagai satu daripada usaha untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, skim rumah tersebut berbeza dengan konsep 'Rent-to-Own' atau 'Sewa-Untuk-Beli' iaitu untuk skim terbaharu ini, penyewa akan membayar kadar sewa sebanyak RM650 sebulan.

"Mereka yang menduduki Rumah Transit Bangsa Johor akan membayar sewa RM650 sebulan tetapi ada pecahan iaitu RM455 akan digunakan untuk bayaran sewa (manakala) RM195 akan digunakan untuk tabungan mereka.

"Dalam tempoh lima tahun, individu akan mempunyai tabungan RM11,000. Duit tabungan boleh digunakan untuk membayar deposit untuk rumah seterusnya," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran transformasi perkhidmatan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) di sini pada Khamis.

Beliau berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri akan membina 92 unit Rumah Transit Bangsa Johor dan 500 unit dalam masa lima tahun akan datang.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu turut memuji pelbagai pembaharuan yang dilakukan PKPJ terutama melibatkan tadbir urus kerajaan.

"PKPJ berjaya menyelesaikan sebanyak 300 fail (pelepasan dan penawaran hartanah bumiputera) yang telah tertunggak bertahun-tahun, berjaya diselesaikan dalam masa empat bulan.

"Mereka bekerja siang malam, melibatkan hartanah bernilai RM3.8 bilion, yang juga memberikan hasil kepada kerajaan negeri sebanyak RM243 juta," kata Onn Hafiz.

Selain itu, Onn Hafiz berkata PKPJ dengan kerjasama pelbagai agensi juga berjaya menyelesaikan 2,800 hak milik strata dalam masa setahun, dengan ada antaranya tertunggak hingga 10 tahun.

"Tidak kurang juga inisitiatif mengurangkan karenah birokrasi. Antara perkara yang dilakukan adalah dari segi permohonan, contohnya permohonan Rumah Mampu Milik, saya difahamkan dulu 17 dokumen perlu diserahkan.

"Hari ini tidak perlu 17 borang, hanya lima dokumen sahaja yang diperlukan," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Syukor.

-- BERNAMA