NATIONAL
Rundingan tarif: Kerajaan tidak tergesa-gesa ke Washington, fokus bina strategi

Dr Sufian Jusoh berkata, langkah berhati-hati yang diambil Malaysia adalah sebahagian daripada pendekatan strategik kerajaan bagi memastikan setiap pertemuan membawa hasil yang signifikan kepada negara. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak tergesa-gesa dalam menghantar delegasi ke Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi rundingan berhubung isu tarif, sebaliknya memilih untuk membina strategi menyeluruh dan berkesan terlebih dahulu.
Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh berkata, langkah berhati-hati yang diambil adalah sebahagian daripada pendekatan strategik kerajaan bagi memastikan setiap pertemuan membawa hasil yang signifikan kepada negara.
"Saya tak nampak kerajaan lambat. Sebenarnya kerajaan tidak tergopoh-gopoh dan tergesa untuk pergi ke Washington. Di situ ada beberapa strategi. Oleh kerana itu, ia memakan masa untuk membina strategi tersebut," katanya dalam Agenda AWANI di sini, pada Isnin.
Malah Sufian menjelaskan, lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Washington baru-baru ini juga membuka ruang untuk bertemu secara langsung dengan Setiausaha Perdagangan AS dan beberapa menteri Kabinet AS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting."Kalau kita pergi ke AS bertemu dengan orang yang tidak boleh membuat keputusan, maka tidak ada makna pergi awal sekadar untuk berjumpa dengan beberapa orang yang tidak boleh memberi apa-apa keuntungan kepada negara," jelasnya.
Jelas Sufian lagi, pertemuan pertama itu lebih bersifat pengenalan dan membentangkan isu-isu utama sebelum rundingan seterusnya dapat diteruskan secara menyeluruh dan bersasar.
Kata beliau, kedua-dua pihak, Malaysia dan AS telah mencapai persefahaman untuk mempercepatkan proses rundingan dalam tempoh masa yang ditetapkan, walaupun secara tradisinya rundingan perdagangan bebas kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk dimuktamadkan.
"Amerika Syarikat bersedia untuk mendengar pandangan daripada Malaysia kerana telah ada satu persefahaman untuk mengadakan rundingan peringkat kedua," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, menurutnya, Malaysia kekal sebagai antara rakan dagang terpenting kepada Amerika Syarikat, bukan hanya di rantau Asia Tenggara malah di peringkat global, justeru proses rundingan ini dilihat sebagai penting dan strategik buat kedua-dua negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami