Keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membentangkan Pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen membuktikan keunikan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, rumusan yang diumum Perdana Menteri itu sekali gus kata sepakat yang dicapai dan semangat hormat-menghormati komponen BN itu sendiri.

"Inilah keunikan gabungan BN yang boleh membuat rumusan secara bersama berhubung perkara penting termasuk RUU 355 dan kaitannya dengan umat Islam di negara ini sungguhpun majoriti komponen parti BN adalah bukan Islam.

"Manifestasi ini membuktikan kebijaksanaan pimpinan Islam agar isu penting sebegini tidak menjadi polemik yang mengundang salah tafsir bukan Islam dalam sebuah negara plural seperti Malaysia. Lantas harmoni antara ras terus dapat dipelihara.

"Kita yakin bahawa Datuk Seri Najib ikhlas dan tidak menghalang agar usul ini tetap dibentangkan untuk dibahaskan walaupun ia bersifat rang undang-undang persendirian. Hakikatnya pihak Kerajaan boleh daripada mula lagi menghalang usul ini tetapi demi Islam dan usaha memartabatkan mahkamah syariah kita telah memberi laluan kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membuat pembentangan awal," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.

BACA: RUU355: Tidak bentang bukan bermakna kerajaan tolak

BACA:
RUU 355: "Saya akan lihat draf itu" - Hadi Awang

Shaiful mengulas keputusan Datuk Seri Najib mengenai keputusan Barisan Nasional yang tidak membentangkan RUU 355 di Parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata RUU 355 adalah akta yang diperkenalkan kerajaan pada 1965 sebelum dipinda dan seterusnya kekal sebagai akta persekutuan.

Jadi jelasnya, walaupun kerajaan membuat keputusan tidak membentangkannya, ia bukan bermakna kerajaan menolak akta berkenaan.

Dalam pada itu Shaiful turut menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap komitmen Pas yang tetap akan membawa usul berkenaan secara rang undang-undang persendirian.

"Pemuda UMNO Kedah juga ingin menyeru agar semua Ahli Parlimen yang beragama Islam komited dan menyokong usul yang bakal dibentangkan Presiden Pas ini.

"Dalam hal ini Pemuda UMNO Kedah memohon agar semua Ahli Parlimen yang beragama Islam melihat usul RU355 di luar ruang lingkup politik dan pada masa yang sama bersolidariti atas kepentingan ummah dan agama," ujarnya.

Tambahnya, RUU355 adalah penyata kerajaan yang sekali gus bertanggungjawab termasuk tiga kali meminda untuk memperkemaskan akta berkenaan demi kebaikan umat Islam.

"Maka tidaklah menjadi satu kesalahan untuk diberi laluan pada indvidu persendirian membentangkan bagi pindaan kali ini.

"Kerajaan dan UMNO sentiasa komited dan mahu agar fungsi dan kuasa mahkamah syariah terus diperkasakan," jelasnya.

Katanya lagi, pembentangan oleh Presiden Pas sendiri memberi asas justifikasi dan cadangan pindaan yang dikemukakan mewakili elemen penting hasil sumbang saranan ulama dan pakar perundangan Islam yang ada di dalam parti itu selain rujukan dibuat dengan pihak pakar yang lain.

"Dalam konteks inilah pentingnya dilihat bahawa konsensus pimpinan tertinggi BN yang mewakili semua kaum di Malaysia untuk bersetuju agar pindaan RUU355 mengambil tempat di Parlimen dan dibentangkan secara Rang Undang Undang Persendirian adalah satu bukti muafakat kerajaan BN untuk menyokong segala usaha murni yang berkait dengan kepentingan Islam selaku agama Persekutuan.

"Dalam pada masa yang sama, ini juga membuktikan bahawa Datuk Seri Najib tidak sama sekali mengenepikan pandangan dan kerisuan sahabat-sahabat parti komponen terhadap sesuatu isu dan pendekatan baru," tegasnya.