KUALA LUMPUR: Biarpun tindakan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang terlibat dalam ‘aktiviti lompat parti’ menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis adalah melucukan, namun ia juga menyenangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kiriman video terbaharunya, Ketua Pembangkang itu berkata, keputusan majoriti dua pertiga terhadap RUU, yang beliau gambarkan sebagai antikhianat, antibelot, antimenipu rakyat semalam, jelas memberikan kemenangan buat rakyat.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, kelulusan tersebut juga merupakan sebahagian ketetapan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diputuskan antara pihak Pembangkang dengan Kerajaan.

“Tapi yang melucukan semalam kita dapati daripada kalangan 209 Ahli Parlimen, termasuk pendirian Pakatan Harapan yang memang konsisten, orang-orang yang bersekongkol dalam komplot khianat ini dan kata-kata orang yang dianggap melompat pun turut mengundi.

“Jadi itu satu perkara agak lucu, tapi menyenangkan Alhamdulillah. Ini satu kemenangan kepada rakyat, apabila kita pilih, kita yakin InsyaAllah tidak lagi belot kerana ugutan, takut dengan tindakan atau wang ringgit atau juga kedudukan,” katanya lagi.


Dewan Rakyat semalam mencatatkan satu lagi sejarah apabila meluluskan RUU mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti itu, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

BACA: RUU Antilompat Parti: Bersatu pertahan Ahli Parlimen tak berbahas

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Dalam sidang akhbar susulan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu dijangka berkuat kuasa pada minggu pertama September depan.

Kata Ahli Parlimen Santubong itu lagi, berkata, ia selari dengan pembentangan di Dewan Negara untuk bacaan kali pertama yang dijadual pada 9 Ogos ini.

RUU Antilompat Parti akan dibawa ke Dewan Negara pada 9 Ogos ini