PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata RUU tersebut ketika ini sedang disediakan oleh pihak kementerian.

"Setakat hari ini seperti mana telah diumumkan oleh Menteri KDN di banyak platform, cadangan yang telah ada adalah untuk menggantikan Akta Penagih Dadah 1983 dengan satu akta baharu yang bertajuk Akta Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan.

"RUU untuk tujuan akta ini sedang disediakan oleh pihak kementerian. Insya-Allah tidak lama lagi kalau semuanya okey.

"Kita jangka kita garis masa untuk membawa akta RUU baharu ke Parlimen adalah pada awal tahun depan," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

BACA: 1.097 juta penagih dikesan, jualan dadah 'online' makin popular - AADK

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Perdana Putra.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan kenyataan Sutekno yang berkata bahawa akta baharu itu antaranya akan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan memberi akses terus kepada agensi tersebut dalam mengambil langkah merawat pulih dengan lebih efektif ke atas penagih ketum.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, akta baharu itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai ini untuk dibincangkan.

Sementara pada September 2021, media melaporkan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata sebelum membentangkan akta itu di Parlimen, kementerian akan mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada badan bukan kerajaan (NGO) mengenai RUU berkenaan.