RUU Jenayah Syariah: 'DAP sengaja mahu kelirukan rakyat' - Bastien

Wan Syamsul Amly
Mei 31, 2016 23:44 MYT
BASTIEN: Apa salahnya undang-undang yang hanya diguna pakai untuk umat Islam di negara ini dibuat penambahbaikkan sebagaimana undang-undang sivil? - Gambar fail
Tindakan DAP yang tidak bersetuju dengan PAS dalam usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dilihat usaha mengelirukan masyarakat tanpa alasan munasabah.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, DAP juga perlu segera menyatakan pendirian jelas dalam perkara berkenaan dari terus menimbulkan polemik dengan memainkan isu hudud.
"Perlu difahami bahawa Malaysia merupakan negara Raja Berperlembagaan. Kita mempunyai sistem yang amat jelas, di mana sebarang undang-undang yang mahu diguna pakai perlu diluluskan oleh Parlimen.
"Undang-undang yang mahu diluluskan oleh Parlimen juga harus mengikut dan sesuai dengan Perlembagaan. Ia merupakan asas kepada pembentukan undang-undang di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Barisan Nasional (BN) dan PAS bekerjasama dalam pembentangan RUU berkenaan.
Guan Eng sekali gus turut menyatakan bantahan dengan pindaan RUU itu.
Jelas Bastien lagi, apa juga yang akan dilakukan PAS selepas ini perlu selari dengan semangat yang sudah dinyatakan.
"Apa yang usulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan perkara yang lain daripada hudud. Ia merupakan semakan semula kepada Akta 355 yang telah lama tidak ditambah baik untuk menjadikannya sesuai dengan masa kini.
"Sudah tentu bagi mereka yang tidak memahami perkara ini akan merasa tidak selesa. Apa salahnya undang-undang yang hanya diguna pakai untuk umat Islam di negara ini dibuat penambahbaikkan sebagaimana undang-undang sivil.
"Kita perlu ingat bahawa mahkamah syariah merupakan kuasa pemutus kepada perkara-perkara yang berkait rapat dengan Melayu dan umat Islam," ujarnya.
Jadi tegasnya, isu hudud tidak sekalipun timbul dan DAP seharusnya berhenti dari sengaja menimbulkan persoalan mengenai RUU berkenaan.
"Semua pihak harus jelas, sejak penubuhan undang-undang Syariah sehingga kini, ia tidak pernah ditambah baik. Hukuman maksimum yang terkandung di dalam undang-undang Syariah adalah tiga tahun penjara, enam sebatan dan denda RM5,000.
"Tidakkah ianya perlu disemak semula untuk kesesuaian masa kini, mungkin RM5,000 terlalu sedikit.
"Undang-undang memainkan dua peranan iaitu penghalang dan hukuman. Jadi apa sahaja yang akan dilakukan perlulah dengan semangat Perlembagaan," katanya.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bantahan terhadap mana-mana rang undang-undang ke arah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.
Selain Tiong Lai, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam turut mengisytiharkan akan meletak jawatan daripada Kabinet jika hudud dilaksanakan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk bertelagah berhubung usul pindaan RUU Jenayah Syariah.
Katanya, usul itu baru dibentangkan buat kali pertama di Parlimen minggu lepas dan perjalanannya masih panjang dalam mencapai keputusan sama ada diluluskan atau tidak.
#Barisan Nasional #BAstien #DAP #Dewan Rakyat #hudud #Lim Guan Eng #PAS