MALAYSIA
RUU Kredit Pengguna 2025 dilulus, SKP selaras landskap kredit pengguna negara

Rang Undang-Undang itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 bagi melindungi kepentingan pengguna kredit dalam negara.
Rang Undang-Undang itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata RUUKP digubal bagi menangani kelompongan ketara dalam industri tidak dikawal selia khususnya perniagaan yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi.
RUUKP juga bertujuan menyeragamkan rangka kerja pengawalseliaan dalam landskap kredit pengguna ketika ini berbeza-beza di Malaysia.RUUKP 2025 telah diluluskan dengan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 24 Ahli Parlimen.
Di bawah RUUKP, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia perniagaan kredit, kini ia beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.
"RUUKP akan dirangka sebagai akta induk bersifat pelengkap kepada akta sedia ada di bawah pentadbiran pihak berkuasa, pengawal selia dan penyeliaan dan tidak menduplikasi fungsi atau peranan kementerian serta agensi sedia ada.
"Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC)," katanya ketika menggulung perbahasan RUUKP 2025 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata pendekatan kawal selia secara bersepadu akan dilaksanakan secara berfasa dengan mengambil kira kesediaan industri serta keupayaan SKP akan dipertingkatkan dari fasa ke fasa seterusnya.
Bagi persediaan Fasa 1, KPKT sebagai pihak berkuasa kawal selia dan penyelia akan memastikan pemberi pinjam wang berlesen mematuhi aspek perlindungan pengguna kredit diperkenalkan melalui RUUKP.
Dengan penggubalan RUUKP, KPKT akan mendapat mandat perundangan tambahan untuk mengawal selia peniagaan patuh shariah bagi kedua-dua sektor, iaitu peraturan pinjaman dengan pajak gadai.
KPDN pula akan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Sewa Beli 1967 untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta memodernkan peruntukan sedia ada.
Mengulas mengenai kadar faedah maksimum dikenakan perniagaan kredit, Lim menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan menetapkan sebarang had kadar faedah pada Fasa 1.
"Kita (kerajaan) tidak akan tetapkan (kadar faedah) pada Fasa 1...bagaimanapun, kita mesti mengumpul data dalam Fasa 1 dan Fasa 2," katanya.
Pada Fasa 2 pula, dijangka bermula pada 2028.
Fungsi kawal selia ketika ini dipegang oleh KPKT dan KPDN akan dipindahkan kepada SKP, ia termasuk aktiviti pinjaman wang, pajak gadai, sewa beli dan jualan kredit.
Manakala Fasa 3, disasarkan bermula pada 2031 akan memberi tumpuan kepada penyatuan kawal selia terhadap semua aktiviti kewangan pengguna di bawah satu entiti berpusat selepas kajian menyeluruh dilakukan kerajaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami