Kerajaan sasar bantu 30,000 pasangan buat rawatan kesuburan

Noraini (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Sazili (dua dari kiri) ketika melakukan simbolik perasmian semasa Program Executive Talk di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Puncak Alam pada Rabu. - Gambar Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Kerajaan menyasarkan 30,000 pasangan di seluruh negara mendapat manfaat serta bantuan menjalani rawatan kesuburan berupa subsidi, sekali gus meningkatkan kadar kelahiran yang kini berada pada tahap terendah.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata inisiatif itu boleh dimohon menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan Advokasi Infertiliti (BUAI) di bawah kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
"Melalui kerjasama strategik antara LPPKN dengan hospital terpilih, pasangan yang berdepan masalah untuk mendapatkan zuriat akan dibantu, terutamanya bagi mereka yang menepati syarat kelayakan yang ditetapkan seperti membabitkan kelahiran pertama.
"Program ini juga membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan seperti prosedur permanian beradas (IUI) dan sokongan advokasi bagi menangani isu kesuburan yang semakin menurun," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Executive Talk Institut Sosial Malaysia (ISM) di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini hari ini.
Noraini berkata pelaksanaan Program BUAI selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh institusi keluarga dalam kalangan masyarakat, di samping menyokong hasrat negara memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan populasi terus terjamin.
Dalam masa sama, Noraini memaklumkan pihaknya turut memperkenalkan Program Pendidikan Kekeluargaan (PEKERTI Smart Start) serta Kelab Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Kekeluargaan (KPTI) dengan tujuan memberikan pendedahan kepada pelajar universiti mengenai ilmu kesihatan reproduktif dan nilai kekeluargaan.
"Melalui KPTI, kita galakkan pelajar universiti menjadi sukarelawan dan rakan sebaya yang boleh berkongsi ilmu dengan rakan lain.
"Inisiatif seperti ini penting untuk memperkukuh kefahaman dan kesedaran mengenai tanggungjawab membina keluarga," katanya.
Mengulas lanjut, Noraini berkata negara kini sedang berdepan transformasi demografi ketara ekoran perubahan jumlah populasi, iaitu kadar kelahiran yang mencatat penurunan, sementara jangka hayat rakyat merekodkan peningkatan.
Beliau berkata kesihatan reproduktif dan dasar kekeluargaan perlu menjadi teras penting kepada negara dalam menghadapi cabaran besar membabitkan sistem kesihatan, jaringan sosial dan daya ekonomi negara.
Terdahulu, Noraini diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi menyempurnakan upacara penutupan Executive Talk ISM sambil disaksikan hampir 500 peserta program yang mengambil bahagian dalam tiga siri wacana.
Menurut Perangkaan Penting 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini, Malaysia merekodkan bilangan kelahiran hidup terendah sejak 1980 dengan 414,918 kelahiran pada 2024, iaitu menurun sembilan peratus berbanding 455,761 kelahiran pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kadar kesuburan jumlah (TFR) juga merekodkan penurunan daripada 1.7 anak pada 2023 kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami