KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini bersetuju untuk sokongan dua pertiga, terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause), di bawah Perkara 10.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua pihak berkata, pindaan berkenaan adalah bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Selain itu, menurut kenyataan tersebut, draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April 2022.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik pada hari ini telah mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April 2022.

“Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk satu lagi Sidang Khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas, dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, Wan Junaidi juga telah menjelaskan bahawa sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April 2022 akan diteruskan seperti yang dirancang.

Dua hari tersebut telah diperuntukkan untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

“Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan Rang Undang-Undang ini mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu merupakan kenyataan Wan Junaidi dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Datuk Seri Saifuddin Nasution.