NATIONAL
RUU Pekerja Gig: GEM beri amaran kepada syarikat, seruan tegas kepada kerajaan

Jose berkata, kenyataan GEM itu bukan bertujuan mencetuskan provokasi, tetapi untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan RUU Pekerja Gig 2025 demi menjamin masa depan dan maruah pekerja di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) hari ini mengeluarkan kenyataan lantang berkaitan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen, menyifatkan ia sebagai penentu antara keberanian politik atau pengkhianatan terhadap ratusan ribu pekerja gig di negara ini.
Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal dalam kenyataannya memberi teguran keras kepada syarikat-syarikat platform e-hailing dan p-hailing agar tidak terus mengambil kesempatan terhadap kesempitan hidup pekerja gig yang menjadi tulang belakang sektor tersebut.
“Pekerja gig bukan alat pakai buang. Kami juga rakyat Malaysia yang punya tanggungjawab dan hak untuk hidup dengan bermaruah,” tegas beliau.
Menurutnya, penetapan kadar upah yang tidak seimbang dan tidak telus merupakan satu bentuk eksploitasi moden yang perlu dihentikan segera.Beliau turut menggesa agar operasi syarikat platform dipantau dengan lebih telus oleh pihak berkuasa, khususnya dalam aspek penentuan kadar caj kepada pengguna dan upah kepada pekerja platform yang sering kali berubah-ubah dan berat sebelah.
Dalam nada tegas, Jose Rizal turut memberi peringatan kepada kerajaan agar tidak terus terbuai dengan retorik “ekonomi digital” yang hanya indah di atas kertas.
“Sudah tiba masanya kerajaan menunjukkan keberanian politik yang sebenar. Jangan lagi bersembunyi di sebalik wacana kosong. Jangan jadi pengkhianat kepada pekerja gig,” katanya.
Beliau juga menyeru kepada semua Ahli Dewan Rakyat supaya mengetepikan fahaman politik kepartian dan menyokong penuh kelulusan RUU tersebut demi masa depan dan keadilan untuk komuniti pekerja gig.
“RUU ini mesti menjadi perisai undang-undang terhadap manipulasi upah dan penindasan sistemik,” tambahnya.
Dalam kenyataan sama, Jose turut mengingatkan komuniti pekerja gig agar tidak menjadi benteng kepada pihak yang menindas.
“Jangan pertahankan pihak yang menghisap keringat kita siang dan malam. Jangan jadi bacul! Bila kita buta hati, akhirnya kita sendiri yang akan binasa,” katanya.
Beliau menegaskan kenyataannya bukan bertujuan untuk mencetuskan provokasi, tetapi untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan RUU ini demi menjamin masa depan dan maruah pekerja dalam ekonomi negara.
RUU Pekerja Gig 2025 yang dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang, dilihat sebagai titik perubahan penting dalam landskap pekerjaan tidak formal di Malaysia.
RUU ini dijangka memperkenalkan perlindungan undang-undang khusus kepada pekerja gig termasuk aspek gaji minimum, keselamatan sosial dan hak pekerjaan yang lebih jelas.
Menutup kenyataannya, Jose menyeru seluruh komuniti gig dan rakyat Malaysia untuk bersatu menyokong RUU tersebut.
“Ini bukan sekadar undang‑undang. Ini soal maruah, soal masa depan, dan soal hak sebagai warga pekerja dalam ekonomi negara,” tegas beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami