Rang Undang-undang (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur pengundi dan ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Negara pada Khamis depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, seperti diketahui Dewan Rakyat sudah pun meluluskan RUU berkenaan pada Selasa lalu.

Menurutnya, RUU itu seterusnya akan dibincangkan di Dewan Negara yang akan memulakan persidangan pada Isnin ini.

“RUU Artikel 119 dan beberapa lagi RUU yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini akan dibincangkan di Dewan Negara.

“Justeru kita berharap para ahli Dewan Negara dapat hadir dan menyokong pindaan berkenaan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Sandakan, pada Sabtu.

Terdahulu, pada Selasa lalu, RUU itu mendapat sokongan 211 ahli parlimen dan ia mencipta sejarah baru negara kerana mendapat sokongan yang sangat tinggi termasuk dari kalangan pembangkang.

BACA: Undi 18: RUU lulus, Ahli Parlimen beri sokongan majoriti lebih dua pertiga

RUU tersebut bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, dan bagi meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Dalam pada itu, Liew Vui Keong berkata, RUU berkaitan isytihar harta dalam kalangan pemimpin dan ahli senator juga turut akan dibincang di Dewan Negara pada minggu hadapan.

RUU itu sudah diluluskan di Dewan Rakyat 1 Julai lalu.