PAPAR: Kerajaan Sabah akan membina empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas, Tenom, sebagai penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek yang akan dilaksanakan secara usaha sama antara kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah dengan sektor swasta itu akan dilancarkan Oktober ini dan dijangka siap pada 2027.

"Dengan pelaksanaan projek ini, kita (kerajaan Sabah) akan dapat menyelesaikan masalah air untuk jangka panjang kerana apabila ia siap dibina, empangan ini boleh menyalurkan air sehingga 6,000 juta liter sehari (JLH)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata kerajaan Sabah juga sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan Empangan Papar atau Empangan Kaiduan sebagai satu lagi langkah jangka panjang untuk memastikan kekurangan bekalan air tidak lagi membelenggu rakyat negeri itu, selain menampung keperluan pelabur.

Mengenai isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah dan kawasan sekitar Tuaran, Hajiji berkata ia akan dapat ditangani pada penghujung tahun ini sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan melibatkan projek pembinaan LRA Telibong selesai.

Ketua Menteri turut memberi jaminan komitmen kerajaan Sabah dalam mengatasi masalah bekalan air di negeri itu juga merangkumi Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Mengulas lanjut projek LRA Kogopon Fasa Dua, Hajiji berkata ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf kapasiti daripada 40 JLH kepada 80 JLH yang akan dimulakan bulan ini dan dijangka siap pada 2026 dengan kos sebanyak RM379 juta.

Beliau berkata selain memanfaatkan kira-kira 160,000 pengguna di Putatan, Kinarut dan Lok Kawi, projek itu juga akan meningkatkan liputan bekalan air bagi menampung permintaan industri, khususnya Terminal Minyak dan Gas Sabah dan Presint Agro-Industri Sabah di bawah Koridor Pembangunan Sabah hingga 2040.

Hajiji turut mengarahkan Jabatan Air Sabah memantau ketat kemajuan projek itu bagi memastikan ia tidak tertangguh seterusnya dapat disiapkan mengikut jadual.

Sementara itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berharap kontraktor dilantik bagi membina projek LRA Kogopon Fasa Dua akan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh tiga tahun, memandangkan isu bekalan air di Papar khususnya Mukim Kinarut amat kritikal.

Armizan juga memberi jaminan untuk mengambil pendekatan jangka pendek mengatasi masalah bekalan air di daerah ini, termasuk menyediakan lori air di lokasi terjejas, selain melihat keperluan membina telaga tiub dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains.

-- BERNAMA