KUALA LUMPUR: Sabah akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara pada Isnin depan (18 Oktober 2021), kata Datuk Seri Masidi Manjun.

Jurucakap Kerajaan Sabah Berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peralihan itu selepas Sabah melepasi syarat-syarat ditetapkan.

Dengan peralihan itu, beberapa lagi aktiviti ekonomi dan sosial akan dibuka.


Mengulas mengenai kes harian di Sabah, Masidi berkata kes harian akan melalui trend ýo-yo' iaitu turun dan naik.

"Pada hari ini, kes baharu yang berpunca daripada saringan bergejala adalah sebanyak 253 kes atau 35.14 peratus.

"Ini satu petanda bahawa tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk belum memuaskan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat tetapi jelas Masidi, trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend menurun.

Selain itu, katanya, daripada 720 kes, 96.25 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2 manakala tujuh kes melibatkan kategori 3, 4 dan 5.