KOTA KINABALU: Sabah kini memberi kebenaran bersyarat kepada golongan kanak-kanak dan remaja untuk memasuki premis perniagaan, mulai 12 Oktober ini.

Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bagi kanak-kanak, mereka perlu ditemani ibu bapa yang sudah lengkap divaksin.

"Kanak-kanak di bawah 12 tahun dibenarkan dine-in di restoran, masuk ke premis perniagaan termasuk pusat membeli-belah, perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan sekiranya ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin," katanya.

Menurutnya, kebenaran yang sama turut terpakai bagi golongan remaja yang berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, beliau berkata pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam turut dibenarkan beroperasi semula bagi daerah-daerah yang 60 peratus penduduk dewasanya telah lengkap divaksin.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Sementara, penjaja, operator termasuk pengunjung hendaklah telah lengkap divaksin," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sebanyak 532 kes COVID-19 telah direkodkan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jika ditolak kes-kes yang daftar lewat dua hari atau lebih, jumlah sebenar kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas hanyalah 270 kes atau 50.75 peratus.

"Daripada jumlah kes jangkitan baru yang direkodkan hari ini, 20.86 peratus adalah daripada kategori 1 dan 75.56 peratus adalah daripada kategori 2.

"Terdapat 11 kes yang memerlukan rawatan dan penjagaan di hospital iaitu empat kes dalam kategori 3, lima kes dalam kategori 4 dan dua kes dalam kategori 5. Lapan kes lagi masih dalam penilaian dan siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, sebanyak enam kes kematian dilaporkan, iaitu dua kes di Putatan dan Tenom, manakala Kota Kinabalu dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes kematian.