KOTA KINABALU: Jumlah harian kes COVID-19 di Sabah kekal dua digit apabila negeri itu mencatatkan 50 kes positif baharu pada Rabu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat.

Manakala, 12 kes adalah daripada saringan bergejala, sembilan kes dari kluster sedia ada serta tiga kes dari lain-lain kategori.

"Selepas beberapa minggu mencatatkan pertambahan kes dua digit, Tawau akhirnya merekodkan hanya lapan kes pada hari ini.

"Dengan pengecualian bagi Kota Kinabalu yang mencatatkan 11 kes daripada kluster sedia ada, daerah lain hanya mencatatkan pertambahan kes satu digit, dengan 17 daerah yang langsung tidak mencatatkan sebarang kes," katanya menerusi ciapan pada laman Twitter beliau, pada Rabu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri itu berkata kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar, selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

"KKM telah melaksanakan 441 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 16 orang didapati positif COVID-19.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di SMU Pantai Manis, Papar bermula 7 Mei sehingga 20 Mei," katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 bagi negeri itu.

Jelasnya, pelaksanaan PKPD ini akan memudahkan proses saringan bersasar ke atas mereka yang terlibat, oleh KKM.

Setakat hari ini, seramai 471,680 individu bersamaan dengan 16.1 peratus telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di negeri ini.