Sabah fokus tiga inisiatif baharu tingkat kualiti hidup penduduk luar bandar

Kualiti hidup penduduk luar bandar sedang ditingkatkan melalui penyediaan akses kritikal kepada sumber tenaga, air bersih dan jaringan pengangkutan selamat. - Bernama
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memberikan penekanan utama kepada tiga inisiatif baharu di bawah Vot Pembangunan, iaitu Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA), dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB), pada tahun hadapan.
Menterinya Datuk Rubin Balang berkata ketiga-tiga program itu dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan akses kritikal kepada sumber tenaga, air bersih dan jaringan pengangkutan selamat.
"Fokus KPLB adalah meneruskan program-program meliputi pembangunan kemudahan asas, pengukuhan komuniti dan pentadbiran daerah yang kritikal selaras dengan peranan kritikal kementerian sebagai peneraju pembangunan luar bandar di negeri ini.
"Bagi mencapai hasrat ini, kementerian kekal komited untuk memastikan rakyat Sabah mendapat akses saksama kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi yang adil serta kualiti hidup lebih baik," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Rubin berkata kerajaan Sabah memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan BELBA dengan menumpukan mikro hidro elektrik dan sistem hibrid solar fasiliti bagi membekalkan elektrik berskala kecil kepada kawasan luar bandar di luar capaian grid utama.
Beliau berkata BELBA bukan sahaja memberikan bekalan elektrik stabil dan mesra alam bagi keperluan harian komuniti, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan keseluruhan rakyat luar bandar.
Pada tahun hadapan juga, KPLB turut memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan BALBA dengan fokus utama kepada pembinaan sistem air sumber bawah tanah dan pembinaan baharu sistem air graviti.
"Ini penting untuk memenuhi keperluan air bersih di kawasan luar bandar yang berada di luar rangkaian paip Jabatan Air Negeri Sabah. Skopnya adalah untuk menyediakan bekalan air bersih di kawasan ITU yang berdepan kekangan sumber dan belum mempunyai liputan paip terawat menyeluruh," katanya.
Bagi JKLB pula, Rubin menjelaskan projek itu akan dilaksanakan dengan peruntukan RM2 juta bertujuan membina baharu dan menaik taraf jambatan kecil di luar bandar yang sukar diakses terutama yang tidak dapat ditampung di bawah perancangan agensi teknikal lain.
Beliau berkata skop projek itu merangkumi pembinaan jambatan gantung, jambatan laluan kenderaan (lima tan) serta lintasan paras rendah (low-level crossing) dengan sasaran utama ialah di daerah lebih kritikal sekali gus dijangka memberikan impak langsung terhadap mobiliti, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata Sabah telah mencatatkan 3.09 juta ketibaan pelancong hingga Oktober lepas, meningkat 17.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata perbelanjaan pelancongan pula dianggarkan mencecah RM7.18 bilion sekali gus menunjukkan pencapaian 88.4 peratus daripada sasaran 3.5 juta pelawat bagi tahun ini.
"Prestasi ini membuktikan Sabah berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pelancongan negeri. Peningkatan ketara ini didorong oleh jumlah penerbangan ke negeri pada tahun ini, iaitu 98 peratus ketibaan adalah melalui pengangkutan udara.
"Sebanyak 450 penerbangan domestik dengan 77,880 kapasiti tempat duduk seminggu menghubungkan Sabah kepada beberapa negeri di Malaysia, manakala bagi sektor antarabangsa, 15 destinasi antarabangsa dengan jumlah penerbangan seminggu 138 dengan kapasiti 25,463 tempat duduk," katanya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib komited memperkukuh akses Internet di kawasan luar bandar dan pedalaman selaras dengan usaha merapatkan jurang digital di negeri itu.
Beliau berkata cadangan penambahan pemasangan Starlink pada tahun depan akan diperluaskan dengan berdasarkan kriteria Coverage Operational Area (COPA) seperti kawasan tersebut mempunyai perkhidmatan kemudahan asas seperti klinik, sekolah dan masjid.
"KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) telah menaik taraf daripada Starlink kepada Fiber Optik. Dilaporkan bahawa pemasangan PoP 300 megabait sesaat oleh YTL telah siap dilaksanakan pada 1 Dis 2025," katanya.
Persidangan DUN Sabah disambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


