KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah berharap dapat memperoleh agihan lebih 2.88 juta dos vaksin COVID-19 bulan ini bagi membolehkan program vaksinasi di negeri ini berjalan lancar, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga sedang berusaha meningkatkan kadar vaksinasi bulan ini dan menyasarkan purata pemberian 60,000 dos vaksin itu dalam sehari kepada penduduk.

"Hampir 41 peratus penduduk dewasa di Sabah telah melengkapkan pengambilan kedua-dua dos vaksin COVID-19... sebanyak 19,799 suntikan dos pertama vaksin diberikan semalam menjadikan jumlah kumulatif lebih 1.64 juta dos pertama diberikan.

"Bagi dos kedua 22,469 dos diberikan semalam menjadikan jumlah kumulatif lebih 1.11 juta dos," katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata satu kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Jalan Pahlawan membabitkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kota Kinabalu dalam Mukim Petagas di sini dengan 45 kes telah dikesan di Kota Kinabalu dan Penampang.

Masidi berkata penularan di Kota Kinabalu dan Penampang itu berlaku dalam kalangan pelatih konstabel polis, tenaga jurulatih polis, pekerja dewan makan pusat latihan, selain turut menjangkiti ahli keluarga.

"Ia merupakan kluster jenis institusi latihan. Kes indeks adalah seorang lelaki yang merupakan jurulatih polis berumur 44 tahun, tinggal di Perumahan IPK (Ibu pejabat Polis Kontinjen) Kepayan dan disahkan positif pada 26 Ogos di Klinik Kesihatan Luyang setelah bergejala sejak 24 Ogos lepas.

"Kes telah dimasukkan ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah) di Pirasan, Kota Belud untuk rawatan lanjut, 72 sampel diambil 45 kes positif dikesan, sembilan sampel didapati negatif dan selebihnya masih menunggu keputusan ujian saringan," katanya.

Beliau berkata Sabah merekodkan sebanyak 2,329 kes positif COVID-19 semalam menjadikan jumlah kumulatif 152,602 kes dan seramai 3,355 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh 120,699 orang.

Sebanyak 33 kematian dicatatkan semalam manakala 4,907 pesakit masih menerima rawatan.

-- BERNAMA