Sabah jana RM8.74 bilion hasil pelancongan 2025

Jafry berkata ketibaan pelawat domestik ke Sabah pada 2025 mencapai hampir 2.3 juta, didorong oleh permintaan perjalanan sempena Aidilfitri, Pilihan Raya Negeri dan cuti persekolahan. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 3.8 juta ketibaan pelawat pada 2025 dengan hasil pelancongan mencecah RM8.74 bilion, mengatasi rekod 3.5 juta pelawat pada tahun sebelumnya.
Ringkasan AI
- Sabah mencatatkan 3.8 juta ketibaan pelawat pada 2025, melebihi rekod sebelumnya, dengan hasil pelancongan RM8.74 bilion.
- Menteri Pelancongan Sabah menekankan tumpuan kepada penyediaan hospitaliti berkualiti dan pengalaman tempatan untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027.
- Ketibaan pelawat domestik meningkat hampir 2.3 juta, sementara ketibaan antarabangsa mencapai 1,498,709 dengan pasaran utama termasuk China, Singapura, dan Taiwan.
Jafry berkata ketibaan pelawat domestik ke Sabah pada 2025 mencapai hampir 2.3 juta, didorong oleh permintaan perjalanan sempena Aidilfitri, Pilihan Raya Negeri dan cuti persekolahan.
Beliau berkata ketibaan antarabangsa pula mencatatkan 1,498,709 pelawat, iaitu peningkatan dua peratus berbanding sebelum pandemik, walaupun sambungan penerbangan antarabangsa masih belum pulih sepenuhnya.
Pasaran antarabangsa utama yang menunjukkan pertumbuhan ialah China dengan 657,528 ketibaan, diikuti Singapura (38,638), Taiwan (34,342), United Kingdom dan Ireland (34,704), Australia (22,571) dan Jepun (16,980).
Menurut kenyataan itu, setakat Januari tahun ini, Sabah dihubungkan dengan 15 destinasi antarabangsa melalui 157 penerbangan mingguan dan menawarkan 28,966 tempat duduk.
Destinasi berkenaan termasuk Singapura, Brunei (Bandar Seri Begawan), Taiwan (Taipei), China (Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Shanghai, Beijing, Hangzhou dan Fuzhou), Korea Selatan (Seoul dan Busan); Filipina (Manila), Indonesia (Jakarta) dan Vietnam (Ho Chi Minh City).
Bagi rangkaian domestik pula, Sabah dihubungkan dengan 13 destinasi iaitu Kuala Lumpur, Subang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Mulu, Limbang dan Lawas.
Menurut kenyataan itu, pelancongan kapal persiaran turut mencatat pertumbuhan dengan 23 kapal membawa masuk 24,634 penumpang, iaitu 19 kapal berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu manakal empat kapal singgah di Pelabuhan Sandakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


