KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah pada Isnin melancarkan Program Oksigen Untuk Rakyat #SharinglsCaring yang akan menyediakan bantuan mesin serta tangki oksigen untuk rakyat yang kurang berkemampuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program bantuan bagi tujuan rawatan perubatan itu dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang dipengerusikannya dan Sabah Energy Corporation (SEC).

Beliau berkata, program itu dilaksanakan kerana kerajaan negeri sedar bahawa peralatan mesin dan tangki oksigen tidak mampu dimiliki oleh semua pesakit terutama yang kurang berkemampuan kerana harganya yang mahal.

"Berdasarkan keperluan itu, program ini diperkenalkan. Usaha ini tercetus atas keprihatinan kerajaan negeri melalui YKS dan SEC bertujuan membantu rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan peralatan oksigen," katanya ketika berucap melancarkan program itu, di sini, semalam.

Beliau berkata menerusi program ini, peralatan mesin dan tangki oksigen akan ditempatkan di hospital kerajaan dan diberikan secara pinjaman dengan dikawal selia oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Hajiji mahu pemimpin masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh negeri membantu menguar-uarkan perkhidmatan di bawah program itu kepada mereka yang memerlukan.

Beliau dimaklumkan bahawa sepanjang 2022 hingga Januari lepas, JKNS mencatatkan sebanyak 74 kes pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan mesin oksigen, manakala 11 pesakit lagi memerlukan bantuan tangki oksigen.

Katanya, pelaksanaan program itu bertepatan dengan konsep dan pendekatan Malaysia MADANI sementara YKS ialah satu platform kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan perhatian secara khusus.

"Cabaran utama yang dihadapi dalam usaha negara menggapai kesejahteraan rakyat secara maksimum ialah kurangnya fasiliti dan kekangan peruntukan bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau juga menggesa jabatan atau agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat memberi sokongan kepada YKS dalam membantu golongan kurang berkemampuan.

-- BERNAMA