Isu pemilikan geran tanah adat merupakan isu utama buat penduduk asal di Sabah.

Tidak terkecuali penduduk beberapa kampung di daerah Kota Marudu yang rata-rata umpama tinggal di atas tanah haram.

Bagaimanapun, akui penduduk Kampung Tonsom, Jame Rumadson, 70, proses penyukatan tanah sudah beberapa kali dilakukan pihak kerajaan tetapi tiada sekeping sijil pemilikan geran tanah diberikan kepada mereka.

"Ini tanah kebun sudah ada zaman bapa saya lagi, saya sekarang sudah 70 tahun sehingga sekarang tiada geran pemilikan diberikan walaupun aktiviti penyukatan dilakukan.

"Saya tidak mahu (mereka) pura-pura menyukat... bila mahu kempen akan melakukan penyukatan. Saya mahu selepas sukat dalam beberapa bulan terus serahkan geran. Sampai saya mati pun belum ada geran," katanya ketika ditemui di kebunnya pada Rabu.

Ini merupakan tanah kebun yang diwarisi Jame daripada bapanya.

Sehubungan itu, Jame berharap kerajaan ambil tindakan segera mengenai perkara tersebut bagi membolehkan dia dan penduduk kampung lain dapat mengusahakan tanah tersebut.

Ulas Jame, dia dan beberapa penduduk berasa takut dan bimbang sekiranya tanah itu diusahakan, ia akan diambil pihak berkuasa.

Masalah sama turut dialami penduduk Kampung Minansod, Kota Marudu Christina Saidi, apabila dia yang sudah 57 tahun tinggal di kampung tersebut masih tidak memiliki geran yang sah.

"Kami sebagai penduduk yang tinggal di tanah adat ini sangat sedih, khuatir dan sentiasa bimbang kerana tanah yang tidak mempunyai geran itu belum jadi hak milik kami.

"Kerajaan bila-bila masa sahaja boleh mengambil tanah ini dan menghalau kami," katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Kampung Minansod, Osnah Lumidang permohonan pemilikan tanah sudah diserahkan kepada pegawai daerah dan pihak berwajib bagaimanapun tiada jawapan daripada mereka.

"Saya sudah membuat follow up dengan pihak berwajib tetapi masih belum ada jawapan. Kami amat memerlukan geran dengan segera supaya kami berasa terjamin dengan untuk duduk di sini," katanya lagi.