Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) diperluaskan ke Sabah bagi memantapkan perkhidmatan jalur lebar di negeri ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Sabah merupakan penerima terbesar projek tersebut dalam usaha kerajaan memenuhi keperluan capaian Internet yang kini menjadi keperluan asas setaraf bekalan elektrik dan air, yang menjadi pengukur pembangunan dan kemajuan sesebuah kawasan.

"Sabah adalah penerima terbesar projek-projek pembangunan infrastruktur di bawah Jendela. Ini bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh rakyat Sabah setanding dengan mana-mana negeri di Malaysia.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi tanggungjawab untuk memacu pelaksanaan JENDELA," katanya semasa merasmikan Pelancaran Gerbang Sabah di Kota Kinabalu pada Khamis.

Menurut Perdana Menteri lagi, kini terpulang kepada rakyat Sabah untuk menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya bagi memajukan kehidupan dan memakmurkan negeri.

"Kerana sayangnya kita kepada rakyat Sabah, kerajaan tidak membiarkan rakyat Sabah berusaha sendirian.

"Kerajaan menerusi MCMC telah menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk memberi bimbingan kepada rakyat Sabah menjadi warga digital yang produktif.

"Selain mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian, PIK mampu mengajar komuniti sekitar, terutamanya di kawasan luar bandar untuk menjana pendapatan dengan menceburi e-dagang, iaitu jual beli dalam talian," katanya.

Jelas Muhyiddin menerusi capaian Internet, peniaga boleh menjalankan operasi perniagaan di mana-mana sahaja.

"Bahkan ada yang berniaga tanpa memiliki barang sendiri, iaitu melalui kaedah 'dropship'. Inilah contoh potensi kemajuan yang dibawa oleh kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Jendela bagi Sabah menyasarkan sebanyak 251,166 premis dilengkapi dengan kabel gentian optik, selain 382 menara telekomunikasi baharu dibina dan projek naik taraf 924 stesen komunikasi sedia ada.