KOTA KINABALU: Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sabah tidak akan melayan mana-mana pihak yang berhasrat "memotong barisan" bagi mendapatkan suntikan vaksin menerusi program vaksinasi COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata CITF Sabah akan memastikan suntikan vaksin hanya diberikan kepada orang ramai selepas mereka membuat pendaftaran dan menghadiri janji temu ditetapkan.

"Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 26 Feb lepas juga menyatakan individu yang gagal menghadiri janji temu pemberian suntikan vaksin COVID-19 tanpa sebarang alasan kukuh boleh dikenakan tindakan," katanya pada sidang media harian COVID-19 Sabah di sini malam tadi.

Masidi berkata kajian terkini menganggarkan imuniti berkelompok akan tercapai apabila 70 hingga 90 peratus penduduk di negeri ini menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata jadual suntikan imunisasi COVID-19 dijangka berakhir pada Februari 2022 dan diharap liputan imunisasi COVID-19 di Sabah mencapai lebih 95 peratus.

"Pencapaian imuniti berkelompok bergantung kepada pelbagai faktor seperti mutasi virus, kesediaan masyarakat menerima vaksin dan kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard semasa pandemik," katanya.

Ditanya adakah Sabah hanya akan menggunakan vaksin Pfizer-BioNtech bagi tujuan program imunisasi COVID-19 negeri, Masidi berkata setakat 16 Feb Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) membuat akses bekalan vaksin daripada lima syarikat pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

"Untuk fasa pertama, Sabah akan menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech, manakala vaksin yang akan digunakan untuk fasa kedua dan ketiga belum ditetapkan lagi. Pengagihan bekalan vaksin ke negeri-negeri seluruh Malaysia adalah di bawah tanggungjawab JKJAV," katanya.

Sementara itu Masidi berkata seramai 60 penerima vaksin akan diberikan suntikan pada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri yang akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata kompaun akan dikenakan ke atas majikan yang gagal membuat saringan COVID-19 kepada pekerja asing di bawah tanggungjawab mereka dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan pas kerja serta pas lawatan kerja sementara pekerja asing tidak akan diperbaharui.

Beliau berkata setakat 28 Feb, seramai 78,449 daripada 116,834 pekerja asing menjalani saringan COVID-19 dan proses saringan baki pekerja asing yang belum membuat saringan dijadualkan pada minggu ini dan minggu depan.

Untuk tujuan itu, janji temu telah diatur dengan klinik-klinik berdaftar yang dikenal pasti, katanya.

-- BERNAMA