KOTA KINABALU: Sabah akan menjadi tuan rumah Persidangan Pelancongan Dunia 2022 (WTC 2022) yang berlangsung di bandar raya ini pada 28 hingga 30 Nov depan.

Bertemakan 'Tourism Futures Reimagined', WTC 2022 menyasarkan kehadiran seramai 700 delegasi antarabangsa dan tempatan termasuk menteri-menteri pelancongan; pegawai-pegawai kanan kerajaan; ahli akademik dan tokoh-tokoh industri pelancongan dari seluruh dunia.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.

"WTC 2022 diharap akan dapat melonjakkan lagi pemulihan industri pelancongan di negeri ini," katanya dalam kenyataan, sambil mengalu-alukan penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa itu di Sabah.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Nancy memaklumkan penganjuran WTC 2022 akan dilaksanakan secara kerjasama strategik antara MOTAC, kerajaan Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Nancy berkata WTC merupakan persidangan eksklusif anjuran Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) yang diadakan setiap tiga tahun sekali, dan penganjuran kali keenam pada tahun ini adalah susulan kejayaan siri kelima WTC sebelum ini.

Beliau berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah buat kali kedua, selepas pertama kali menganjurkan WTC lebih 12 tahun lepas, merupakan tanda pengiktirafan terhadap komitmen kerajaan Sabah dalam menerajui pembangunan sektor pelancongan.

Kepimpinan kerajaan Sabah telah berjaya meletakkan Negeri di Bawah Bayu itu sebagai destinasi pelancongan utama di persada dunia, katanya.

-- BERNAMA