MALAYSIA
Sabah utamakan alam sekitar sebagai komponen penting pembangunan lestari - Liew
TUARAN: Sabah sentiasa mengutamakan alam sekitar dengan mengiktirafnya sebagai komponen penting dan tonggak strategik kepada pembangunan lestari, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata dasar yang mengambil kira pertimbangan serta piawaian alam sekitar diperlukan dalam semua aktiviti pembangunan bagi memastikan kelestarian sosial dan ekologi.
Liew berkata Pelan Tindakan di bawah Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2019 yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan mencerminkan komitmen berterusan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar.
"Pada 2017, Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah telah dilancarkan sebagai rangka kerja panduan kami, seiring Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002," katanya pada sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di sini hari ini.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Mary Isidore Malangking.
Liew berkata pendidikan alam sekitar merupakan satu proses dinamik yang membina kesedaran, pengetahuan dan kemahiran mengenai isu alam sekitar, serta mendorong perubahan sikap dan tingkah laku ke arah pemuliharaan dan pengurusan lestari.
Bagi menangani cabaran kompleks dalam pendidikan alam sekitar di negeri ini, Liew berkata Dasar Pendidikan Alam Sekitar Negeri Sabah telah dilancarkan secara rasmi pada November 2009 sebagai platform penting untuk menyelaras usaha semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif pendidikan alam sekitar yang komprehensif dan berkesan.
"Saya berbangga untuk menyatakan bahawa Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai dasar pendidikan alam sekitar," katanya.
Liew berkata beberapa pencapaian penting telah memperkukuh pendidikan alam sekitar di Sabah termasuk pelancaran Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) pada 2003 dan penubuhan Rangkaian Pendidikan Alam Sekitar Sabah pada 2005.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah baru-baru ini menjalankan kajian bertajuk "Pembangunan Bahan Pendidikan dan Laporan Amalan Terbaik Pelaksanaan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah" yang antara lain menghasilkan bahan pendidikan untuk memperkukuh penyampaian pendidikan alam sekitar.
Bahan berkenaan termasuk video, modul pembelajaran serta kompilasi alat amalan terbaik yang direka bentuk untuk menjadikan pendidikan alam sekitar lebih menarik, berimpak tinggi dan mudah diakses oleh pelbagai kumpulan sasaran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami