KOTA KINABALU: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Sabin Samitah dilantik sebagai Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) setelah menerima surat pelantikan ke jawatan itu hari ini.

Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan surat pelantikan itu kepada Sabin, 63, dalam majlis ringkas di Menara Kinabalu di sini.

Sabin, anak jati Sabah berasal dari Ranau, menggantikan Datuk Noorliza Awang Alip sebagai Mayor DBKK yang ketujuh sejak Kota Kinabalu dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya, 23 tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, Dr Sabin sebelum ini pernah memikul tugas Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Keusahawanan dan Pembangunan Industri Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata Majlis Daerah Penampang bakal dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran dengan tempoh transisi dimulakan hari ini.

Tanpa memberitahu tempoh transisi itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata tempoh transisi itu penting bagi memastikan urusan perubahan pentadbiran dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Selaras dengan pengiktirafan yang bakal diberikan nanti, diharap warga Majlis Daerah Penampang melaksanakan tadbir urus yang cekap dan berintegriti tinggi, efisien dan efektif dalam melaksanakan penugasan-penugasan yang diberikan.

"Ini termasuklah mengambil pendekatan mensejahterakan perkhidmatan dengan membangunkan ekonomi dan mencari sumber-sumber hasil baharu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata PBT merupakan satu entiti kerajaan yang begitu penting kerana PBT memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat, justeru kakitangan PBT perlulah mengambil anjakan paradigma dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik.

-- BERNAMA