KUALA NERUS: Saiz purata penyu yang kembali bertelur di Pulau Redang di sini didapati semakin mengecil dari setahun ke setahun, kata Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli.
Beliau berkata, walaupun jumlah populasi atau persarangan di Pulau Redang menunjukkan perkembangan positif iaitu daripada 300 sarang ke 2,000 sarang setahun, analisis oleh UMT mendapati purata panjang karapas penyu agar yang bertelur menurun daripada sekitar 100.8 sentimeter (cm) pada 2005 kepada 96.8 cm pada 2022.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran berat, perubahan itu bersamaan penurunan berat purata daripada sekitar 120 kilogram (kg) kepada kira-kira 105 kg dalam tempoh sama.
"Sebanyak 18,707 ukuran penyu agar dianalisis di Pulau Redang, dengan data berkenaan dikumpulkan secara konsisten oleh UMT selama hampir tiga dekad. Setiap kali seekor penyu ditemui bertelur, saiz karapas diukur dan dimasukkan ke dalam pangkalan data.
“Jadi penyu yang sama boleh mempunyai beberapa pengukuran kerana bertelur beberapa kali dalam satu musim dan kembali pada tahun-tahun berikutnya,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Mohd Uzair berkata, walaupun perubahan saiz itu hanya beberapa sentimeter, apabila pola sama dapat dilihat selepas puluhan tahun pemerhatian termasuk di beberapa populasi penyu di seluruh dunia, ia menimbulkan persoalan lebih besar mengenai perubahan yang berlaku dalam struktur populasi penyu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor perubahan itu ialah perubahan struktur populasi apabila lebih banyak pembiak baharu, peningkatan persaingan disebabkan bilangan populasi semakin besar dan perubahan produktiviti habitat pemakanan yang mungkin berlaku secara serentak.
Beliau berkata, faktor itu membawa kepada konsep penyelidikan lebih luas iaitu daya tampung habitat yang turut merangkumi habitat pemakanan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemantauan di pantai perlu dihubungkan dengan penyelidikan di laut seperti kawasan pemakanan yang digunakan, kepadatan penyu, keadaan dan produktiviti rumput laut selain perubahan keadaan badan serta pertumbuhan penyu.
"Pada 2025, kajian UMT yang diterbitkan dalam Global Change Biology menganalisis perubahan saiz penyu menggunakan data jangka panjang Pulau Redang dan membandingkannya dengan populasi lain di seluruh dunia.
"Daripada 31 lokasi persarangan yang mempunyai data perubahan saiz, 27 lokasi menunjukkan purata saiz penyu bertelur. Populasi yang berkembang dengan lebih pesat juga cenderung menunjukkan penurunan lebih besar,” katanya.
Mohd Uzair berkata, di Boa Vista, Cabo Verde, Afrika peningkatan besar aktiviti persarangan penyu tempayan selepas perlindungan jangka panjang berlaku seiring penurunan saiz induk dan bilangan telur, manakala di Yakushima, Jepun, penyu tempayan yang direkodkan antara 1999 hingga 2005 juga didapati lebih kecil berbanding penghujung 1980-an dan awal 1990-an.
“Pengumpulan data secara konsisten selama 10 hingga ke 30 tahun membolehkan penyelidik melihat perubahan yang tidak mungkin dikesan melalui kajian jangka pendek,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan teknologi seperti satelit, dron, sensor dan kecerdasan buatan (AI) memberikan peluang baharu kepada penyelidik untuk memahami perubahan itu, namun pemerhatian terhadap alam secara konsisten dan lama perlu dilakukan untuk membolehkan pola perubahan berkenaan muncul.
"Kemunculan semula penyu belimbing di Pantai Pasir Putih, Marang mengingatkan kita bahawa status sesuatu spesies boleh berubah dengan besar dalam beberapa dekad. Penurunan saiz penyu pula menunjukkan perubahan populasi tidak semestinya hanya dapat dilihat melalui bilangan haiwan atau jumlah sarang.
"Kita mungkin gembira apabila jumlah sarang meningkat, tetapi apabila sesuatu populasi mula pulih, persoalan penting adakah habitat laut masih mampu menyokong populasi yang semakin bertambah," katanya.
-- BERNAMA