Keadaan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi berikutan masalah kesihatan bahu kanan dan bahagian belakangnya, semakin baik pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata berikutan perkembangan itu suaminya dijangka pulih dalam masa terdekat.

"Saya sempat melawat beliau pagi tadi sebelum saya hadir rumah terbuka Selangor hari ini. Alhamdulillah, teruskan lah berdoa... kami amat berterima kasih kepada semua yang mendoakannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

BACA: Anwar sakit belakang, Azizah batal hadir ke majlis Aidilfitri

Anwar telah dikejarkan ke PPUM kerana kesakitan di bahu serta bahagian belakang selepas pulang dari Turki semalam.

Sambil menyatakan bahawa keputusan itu adalah hak anggota Parlimen tersebut, timbalan perdana menteri berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana anggota Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri yang ingin bersama-sama PH membawa perubahan kepada negara.

Ketika ditanya sama ada PH akan menerima Noor Azmi sekiranya beliau ingin menyertai pakatan itu, Dr Wan Azizah berkata perbincangan mengenai perkara tersebut akan diserahkan kepada PH Perak.

Noor Azmi ketika mengumumkan keputusannya itu dalam sidang media di Bagan Serai, Perak hari ini, turut mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan PH serta Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 172 undi berkata, keputusan tersebut dibuat setelah setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya serta demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

-- BERNAMA