Ia juga adalah penyebab pesakit-pesakit dirujuk daripada Klinik Kesihatan dan klinik swasta.
Secara amnya, sakit dada adalah simptom petanda serangan jantung.
Walaupun begitu, sakit dada juga mungkin disebabkan hal-hal lain seperti jangkitan kuman pada paru-paru (pneumonia), paru-paru bocor (pneumothorax), asid berlebihan dalam perut (reflux oesophagitis), masalah kesakitan otot-otot dada dan masalah berkaitan mental seperti gemuruh (anxiety) dan tekanan (stress).
Jika dilihat, boleh dikatakan sakit dada tidak semestinya mendapat serangan jantung. Maka bolehkah kita katakan, 'selamat' untuk tidak mendapatkan rawatan jika mengalami sakit dada?
Bolehkah kita berlengah-lengah dahulu sebelum mendapatkan rawatan? Bolehkah mangsa sakit dada ini mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau klinik swasta berhampiran rumah?
Kriteria sakit jantung
Sakit dada yang disebabkan oleh serangan jantung ada beberapa kriteria yang klasik.
Berikut adalah kriteria sakit dada yang biasa dirasai pesakit akibat serangan jantung:
- Sakit di bahagian tengah atau kiri dada.
- Rasa sakit dada itu umpama dada ditekan atau sesuatu benda berat menghempap.
- Adakala rasa sakit itu merebak ke bahu dan lengan kiri atau merebak ke bawah dagu.
- Rasa loya, muntah, rasa hendak pitam, pening kepala atau berpeluh-peluh datang sekali bersama sakit dada.
- Sakit dada bersama rasa sesak nafas atau berasa tidak puas apabila menarik nafas.
Semakin banyak faktor risiko pada seseorang individu, bermakna kebarangkalian apabila seseorang sakit dada untuk beliau mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi.
Berikut adalah faktor-faktor risiko serangan jantung:
- Jantina lelaki.
- Berumur 40 tahun dan ke atas.
- Perokok.
- Kencing manis (diabetes mellitus).
- Darah tinggi (hypertension).
- Paras kolestrol tinggi (hypercholestrolemia).
- Sejarah serangan jantung dalam keluarga.
Penyumbatan ini menyebabkan jantung sendiri tidak mendapat bekalan oksigen untuk aktivitinya. Kegagalan ini menyebabkan sel jantung cedera (ischemia) dan akhirnya sel-sel jantung ini akan mati (infarction).
Ketika ini pesakit mula merasai sakit dada samada secara perlahan-lahan atau sakit dada kuat secara tiba-tiba.
Serangan jantung
Serangan jantung juga dikenali dalam perubatan sebagai Sindrom Koronari Akut (Acute Coronary Syndrome) iaitu suatu spektrum daripada Unstable Angina, Non-ST-Elevation Myocardial Infarction (NSTEMI) dan ST-Elevation Myocardial Infarction(STEMI).
Perbezaan spektrum ini berdasarkan darjah penyumbatan salur darah koronari dan kawasan jantung yang sel-selnya cedera atau mati. Pesakit Sindrom Koronari Akut (Acute Coronary Syndrome) perlu dirawat dan dipantau di Wad Perubatan atau di Unit Rawatan Koronari (Cardiac Care Unit).
Diagnosa untuk mengesahkan sakit dada diakibatkan oleh serangan jantung boleh dilakukan melalui:
- Sejarah, latar belakang dan faktor risiko pesakit.
- Ujian ECG (electrocardiogram).
- Ujian darah (cardiac marker).
Namun begitu sebaik sahaja pesakit disahkan menghadapi serangan jantung maka rawatan yang lebih terperinci diperlukan.
Adalaka serangan jantung adalah kritikal akibat sumbatan salur darah koronari yang sepenuhnya. Pesakit perlukan rawatan untuk membuka saluran darah dengan segera samada melalui ubat-ubatan seperti GTN, Aspirin, Clopidogrel, Streptokinase/Metalyse ataupun prosedur intervensi seperti PCI (Percutaneous Coronary Intervention).
Kebanyakan hospital memang lengkap dengan ubat-ubatan serangan jantung. Hospital-hospital dengan kepakaran kardiologi mempunyai makmal-makmal dimana intervensi PCI dilakukan.
Jangan panik jika rakan sekerja atau ibubapa mendapat sakit dada secara tiba-tiba.
Bantuan awal
Ada beberapa bantuan awal boleh diberikan untuk membantu mereka.
Antara bantuan awal yang boleh dilakukan adalah:
- Sandarkan pesakit ke kerusi atau di atas katil.
- Longgarkan pakaian mangsa termasuk tali pinggang, jam, tali leher dan kasut.
- Berikan ubat GTN yang biasanya diletakkan di bawah lidah (jika ada).
- Beri ubat Aspirin 300mg dengan dikunyah oleh mangsa (jika ada).
- Kurangkan pergerakan pesakit dan dipapah jika perlu.
- Dapatkan bantuan ambulan dengan mendail 999 atau bawa mangsa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, hospital berdekatan.
Jika mangsa memandu sendiri ke hospital, dikhuatiri berlaku kemalangan yang akan melibatkan pengguna jalanraya yang lain.
Jika anda mendapat sakit dada dan berseorangan, sila dapatkan bantuan rakan-rakan , saudara-mara atau telefon nombor 999 untuk bantuan kecemasan.
Serangan jantung tidak mengira masa dan tempat jika ia menyerang. Adakala sakit dada berlaku ketika kita berada jauh daripada fasiliti hospital. Ke manakah patut dituju? Berbaloikah memandu jauh ke hospital?
Secara amnya jika seseorang mendapat sakit dada yang berkemungkinan akibat serangan jantung, mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, hospital dengan segera adalah langkah terbaik.
Namun jika hospital terlalu jauh, maka pergilah segera ke klinik kesihatan atau klinik swasta. Sekurang-kurangnya mangsa akan mendapat ubat-ubat seperti GTN, Aspirin dan oksigen jika perlu sebelum dirujuk ke hospital dan dibawa dengan ambulan ditemani petugas-petugas kesihatan.
Kemudahan di klinik kesihatan
Kini, kemudahan-kemudahan dan perubatan di klinik kesihatan ditambah baik. Ada klinik kesihatan yang lokasinya agak jauh daripada hospital telah dibekalkan dengan ubat-ubatan merawat serangan jantung akut.
Para pegawai perubatan di klinik kesihatan yang terpilih ini juga dapat konsultasi secara terus dengan pakar perubatan kecemasan hospital terbabit.
Pada peringkat awal, projek ini melibatkan sembilan buah hospital dan klinik kesihatan sekitarnya di enam buah negeri dan akan diperkembangkan dari masa ke semasa.
Akhir kalam, sakit dada adalah simptom yang perlu diambil berat. Tindakan terbaik jika mengalami sakit dada adalah ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, hospital yang berdekatan.
Namun begitu jika jarak hospital terlalu jauh, boleh ke klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan. Jangan biarkan ia berlarutan kerana mungkin boleh mengancam nyawa.
* Dr Sazwan Reezal bin Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy). Beliau boleh diikuti di Twitter melalui @drwaque. Artikel ini ditulis sempena ulang tahun ke-tiga MedTweetMy memberikan informasi kesihatan di Twitter.
** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.