Wanita Malaysia yang ditahan kerana mengelak pemeriksaan imigresen di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 17 Jan, telah dihantar pulang ke Malaysia selepas pertuduhan terhadapnya ditarik balik oleh pihak pendakwa kerana mengalami sakit mental.

Nurul Rohana Ishak, 27, bagaimanapun hanya dilepas tanpa dibebaskan.

Wanita itu sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan termasuk jenayah menceroboh dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Pihak pendakwa menarik balik pertuduhan terhadap Nurul Rohana susulan laporan daripada Institut Kesihatan Mental.

Beliau didiagnosis menghidap paranoid iaitu sejenis skizofrenia.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Kamsiah Kamaruddin memberitahu Bernama, Nurul Rohana dilepaskan oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura pada tengah hari Jumaat dan diiringi sehingga ke Pusat Pemeriksaan Imigresen Malaysia di Johor Bahru.

Kamsiah dan beberapa pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia turut hadir semasa Nurul Rohana tiba di pusat pemeriksaan itu.

Pada 17 Jan, wanita itu dari Kampung Baharu, Bukit Jenun di Pendang, Kedah didakwa memandu keretanya melanggar besi sekatan di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Singapura di Woodlands di sini.

Bagi tiga hari kemudiannya, dia menghilang diri tanpa dapat dikesan di republik ini, walaupun polis digerakkan untuk mengesannya sehingga dia ditemui di perkarangan Kementerian Luar.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Wisma Putra mengucapkan terima kasih kepada agensi relevan kerajaan Singapura, terutamanya Institut Kesihatan Mental bagi penjagaan dan rawatan baik diberikan kepada Nurul Rohana.

"Malaysia juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Abraham Vergis daripada Pejabat Perkhidmatan Pro Bono, Persatuan Undang-undang Singapura bagi bantuannya dalam mewakili Nurul Rohana," kata kementerian itu dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.

Wisma Putra berkata kerajaan Malaysia, menerusi Suruhanjaya Tingginya di Singapura, telah memberikan bantuan yang diperlukan kepada Nurul Rohana dan keluarganya sejak dia ditahan Januari lepas.