KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail mengesahkan menerusi carta aliran yang ditunjukkan kepadanya oleh pasukan pendakwa, wang sebanyak RM2.28 bilion dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

Jumlah besar itu masuk ke dalam akaun AmBank yang berakhir dengan nombor 694 dan 880, kata Ismee yang bersetuju dengan jejak kewangan rumit daripada 1MDB kepada beberapa entiti sebelum akhirnya masuk dalam akaun Najib sendiri.

Ismee merupakan saksi pendakwaan ke-13 yang dipanggil untuk memberi keterangan terhadap Najib.

Memetik laporan portal Agenda Daily, dalam carta jejak wang tersebut, didedahkan wang bernilai AS$700 juta daripada dana 1MDB dipindahkan ke akaun Good Star Limited, walhal pada awalnya dana itu bertujuan untuk digunakan bagi usaha sama AS$1 bilion dengan Petrosaudi International (PSI) Abu Dhabi.

Untuk rekod, Good Star dikawal oleh kawan rapat Najib, Low Taek Jho atau Jho Low yang menurut pendakwaan menggunakan kuasanya yang diberikan oleh Najib.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram turut menunjukkan kepada Ismee laluan jejak kewangan yang lain melibatkan Putera Arab Saudi, Turki Abdullah, dianggarkan kira-kira RM30 juta ditambah masuk ke dalam akaun 694 yang juga milik Najib pada 24 Feb dan 14 Jun 2011.

Semasa ditanya Sri Ram, Ismee bersetuju dengan DPP bahawa wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.

Apabila Sri Ram menunjukkan satu lagi carta yang didakwa menunjukkan kira-kira AS$45 juta dana 1MDB berakhir ke dalam akaun 880 Najib antara 17 Okt 2014 dan 10 Dis 2014, Ismee bersetuju bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaun itu.

Pada akhir pelbagai carta aliran yang ditunjukkan, Ismee bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa sejumlah RM2.28 bilion dana dimasukkan ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2015.

Sri Ram: Setelah melihat barang bukti (jejak kewangan) ini, adakah anda ingin menyemak jawapan anda semasa dalam pemeriksaan balas (oleh pasukan pembelaan Najib) bahawa tertuduh tidak mendapat faedah peribadi (daripada aliran masuk wang)?

Ismee: Daripada carta aliran, saya dapat lihat wang 1MDB masuk ke akaun 694 milik tertuduh.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.