KUANTAN: Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapat suapan, lapan tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 19 Mac dan 15 Disember 2014, tertuduh Khairul Azizi Ab Aziz, yang ketika itu berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Kurikulum di Sekolah Kebangsaan Cherating, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan, dengan mencadangkan kepada guru besar bagi melantik syarikat milik isterinya, Sueazizi Enterprise, bagi perihal kerja bayaran peruntukan latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) perahu layar yang melibatkan baucar bayaran berjumlah RM1,200 dan RM700.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Khairul Azizi yang kini berjawatan guru besar dituduh di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Siti Sarah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh ketika membuat rayuan agar denda dan hukuman dikurangkan berkata, ketika melakukan kesalahan itu, tertuduh tidak mengetahui tatacara yang betul dalam pentadbiran kewangan kerajaan dan tidak pernah menerima kursus pengendaliannya.

Hakim Ahmad Zamzani dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika tertuduh gagal membayar denda.