JOHOR BHARU: Bekas bendahari Masjid Al Ubudiah Kampung Sri Machap hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan wang sebanyak RM12,000 pada 2022.

Syaharullah Ismail, 44, yang juga pemandu lori kelapa sawit, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Jalan Dato Kapten Ahmad, Kluang antara 9.16 malam hingga 9.17 malam pada 12 Nov 2022 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Zahida Muhammad Ruzi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri ke pejabat SPRM di Kluang.

Peguam K. Bharathi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh berpendapatan tidak tetap sekitar RM1,500 sebulan selain menanggung tiga anak berusia 13,10 serta empat tahun dan isterinya bekerja sebagai guru.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan serta menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA