Kes saman membabitkan dua bekas Menteri Besar Selangor selesai secara baik hari ini selepas Dr Mohamad Khir Toyo memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini.

Kenyataan permohonan maaf secara terbuka yang dibacakan oleh Dr Mohamad Khir itu direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan.

Terdahulu, Dr Mohamad Khir ketika membacakan kenyataan dalam bahasa Melayu itu berkata beliau dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada Abdul Khalid kerana mengeluarkan dua kenyataan yang telah diterbitkan di dalam akhbar The New Straits Times bertajuk "Lexus is my own, says Khalid" pada 15 Jan 2009 dan akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Lepaskan Jawatan MB" pada 23 Jan 2009.

Beliau berkata kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang Selangor pada ketika itu, mungkin telah mencemar atau menjejas atau menjatuhkan nama baik, reputasi, imej dan integriti Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor pada masa itu.

"Saya juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah terhadapnya pada masa akan datang," katanya.

Abdul Khalid dan Dr Mohamad Khir yang kelihatan ceria berjabat tangan sejurus Dr Mohamad Khir selesai membacakan kenyataan tersebut.

Pada awal prosiding, peguam Sankara Nair yang mewakili Abdul Khalid memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian secara baik melalui proses mediasi yang dijalankan sebelum ini.

Beliau memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua kes saman itu diselesaikan dengan kos dan pihak defendan (Dr Mohamad Khir) akan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah.

Selain Sankara, Abdul Khalid turut diwakili peguam K.Murali manakala Dr Mohamad Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Siti Maspuah Maulan.

Pada 18 Feb 2009, Abdul Khalid memfailkan dua saman fitnah terhadap Mohamad Khir berhubung kenyataannya mengenai Abdul Khalid dalam isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid antara lain mendakwa kedua-dua artikel itu secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau, yang bermaksud antara lain bahawa beliau adalah seorang tidak jujur, tidak beretika dan sengaja menyalahgunakan kedudukannya untuk kehidupan peribadi dan jawatan awam.

Dr Mohamad Khir juga didakwa telah secara salah menerima dan menunjukkan dokumen rasmi rahsia berkaitan dengan andaian salah laku dalam hal 'lembu korban' tanpa mengesahkan ketepatan fakta yang berkaitan dan seterusnya membuat tuduhan palsu.

Sehubungan itu, Abdul Khalid memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang Dr Mohamad Khir daripada terus melafazkan, bercakap atau menulis atau menerbitkan kenyataan terbabit yang didakwa memfitnah beliau.

Abdul Khalid ketika ditemui pemberita sejurus prosiding berakhir berkata beliau dengan ikhlas menerima permohonan maaf Dr Mohamad Khir atas kepercayaan ia memadai untuk menebus integriti dan maruah beliau sebagai seorang pemimpin dan seorang Islam.

Beliau berkata penyelesaian yang tidak melibatkan balasan ganti rugi kewangan ini diambil kerana beliau mahu menerapkan nilai-nilai kemanusiaan yang jauh lebih bermakna berbanding wang ringgit.

"Saya berharap kes ini dapat memberi pengajaran kepada masyarakat khususnya kepada ahli politik agar sentiasa berwaspada untuk tidak mengeluarkan sebarang tuduhan tanpa asas dan fakta yang betul.

"Saya juga selepas ini akan bersama-sama Dr Mohamad Khir menemui masyarakat di Ijok (Kuala Selangor), Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak bagi menjelaskan perkara sebenar," katanya.

Sementara itu Dr Mohamad Khir berterima kasih kepada mahkamah kerana memberi peluang kepada beliau dan Abdul Khalid untuk bermediasi sehingga membawa kepada penyelesaian di luar mahkamah.

"Bagi saya yang penting adalah persahabatan daripada permusuhan dan saya rasa permohonan maaf ini perbuatan yang baik apatah lagi sebagai orang yang lebih muda wajar bagi saya melakukannya.

"Sebagai bekas Menteri Besar kalau kami bergaduh di mahkamah pun tidak elok anak cucu tengok," katanya.