Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang mempertimbangkan cadangan menghantar wakil sebagai peguam pemerhati dalam pendengaran saman sivil yang difailkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Ini kerana tindakan menyita dan merampas aset berkaitan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu membabitkan syarikat milik negara dengan kepentingan Malaysia.

"Saya sedang memikirkan idea bahawa mungkin saya atau pegawai saya akan ke sana semasa prosiding.

"Sekurang-kurangnya untuk menyatakan minat kita kerana kita dengar anda (AS) mahu memberikan wang kepada kita, kita mahu mendengarnya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri upacara mengangkat sumpah dua Pesuruhjaya Kehakiman di sini hari ini.

Menurut Tan Sri Apandi, pihaknya mungkin melantik firma undang-undang AS untuk menghadiri perbicaraan memandangkan sistem perundangan negara itu mungkin berbeza.

Katanya sekira dibenarkan mahkamah, pihaknya juga ingin mengajukan beberapa soalan kepada pihak terbabit.

Peguam Pemerhati atau 'Watching Brief' adalah istilah undang-undang bagi pihak yang berminat untuk menghadiri perbicaraan sebagai peguam seperti yang diamalkan di Malaysia dan sistem negara Komanwel.

Berhubung pembabitan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho atau Jho Low dan Riza Aziz, Tan Sri Apandi menyatakan tiada siapa yang akan terlepas jika mereka terbabit dalam kes 1MDB.

Bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih belum memuktamadkan siasatan mereka.

“Jika ada bukti, saya akan mendakwa, tiada siapa akan terlepas,” kata beliau.

Pada 21 Julai, tahun ini, DOJ memfailkan saman sivil untuk menyita aset-aset yang diperoleh menggunakan wang yang dikatakan digelapkan dari 1MDB, dana pelaburan kerajaan.