PUTRAJAYA: Persiapan bagi penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya pada 31 Ogos ini sedang giat dijalankan bagi memastikan sambutan bertaraf nasional itu meriah, di samping memberi keselesaan kepada pengunjung berskala besar, yang dianggarkan menjangkau 100,000 orang.

Setiausaha Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Mazlan Abd Mutalib berkata persiapan bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023, yakni kali kelima ia diadakan di Putrajaya, sedang giat diatur pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan.

"Persiapan logistik telah siap kira-kira 45 peratus. Kerja-kerja logistik dijangka siap sepenuhnya pada 22 Ogos ini, iaitu sebelum bermulanya sesi latihan persembahan dan latihan kawad kaki kontinjen," katanya kepada Bernama.

Mazlan berkata keseluruhan lokasi sambutan dibahagikan kepada lima zon melibatkan Zon Satu, yang bermula dari hadapan bangunan Galleria hingga ke Bulatan Gemilang, sebagai lokasi peserta kontinjen perbarisan berkumpul; Zon Dua adalah di Dataran Putrajaya yang menempatkan Petak Diraja, pentas persembahan utama dan skrin LED bersaiz gergasi.

Zon Tiga yang terletak di tapak Anjung Floria, Presint 4 pula menempatkan aset-aset ketenteraan sebelum menyertai perarakan; Zon Empat iaitu kawasan parkir berhampiran restoran makanan segera McDonalds akan menempatkan aset hidup iaitu 58 ekor kuda dan meriam dari Angkatan Tentera (ATM).

Zon Lima pula merupakan lokasi perarakan iaitu di sepanjang Persiaran Perdana yang akan dilengkapi kemudahan seperti tempat duduk bertingkat berkapasiti 4,000 tempat duduk; khemah bantuan pasukan perubatan serta skrin di enam lokasi bagi memudahkan orang ramai yang berada jauh dari Zon Dua menyaksikan aktiviti persembahan di pentas utama.

Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Mazlan berkata 10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan; Perpaduan Malaysia MADANI; Ekonomi; Perbankan; Telekomunikasi; Industri Kreatif; Komuniti; Sukan Negara; Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

Beliau berkata antara acara menarik pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 ialah persembahan khas Malaysia MADANI menampilkan artis terkenal tempatan dan persembahan gendang khas MADANI.

Acara menarik lain adalah aksi terjunan tepat oleh VAT 69 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM); perarakan cosplay dan pelbagai maskot watak terkenal; perarakan 30 kereta antik yang membawa 30 orang terdiri dari pelbagai kaum di Malaysia; dan perarakan 30 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM.

"Sebanyak 36 pasukan pancaragam, beserta gaya dan kreativiti tersendiri akan mengiringi acara perbarisan serta perarakan," katanya.

Putrajaya sebelum ini menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2003, 2005, 2018 dan 2019.

-- BERNAMA