ISTAF beri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Hannah

ISTAF mengakui kepimpinan Hannah telah memastikan penyelarasan antara agensi yang kukuh, penyertaan antarabangsa yang meluas serta standard penganjuran dan profesionalisme pada tahap tertinggi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh semalam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Berdasarkan sijil yang disampaikan kepada Hannah, ISTAF memaklumkan anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau sebagai menteri serta sumbangan signifikan dalam kejayaan penganjuran dan pembangunan kejohanan sepak takraw antarabangsa yang diperakui ISTAF di Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum ini sebagai Menteri Belia dan Sukan.
"Anugerah ini disampaikan dengan setinggi-tinggi penghargaan atas perkhidmatan awam beliau yang cemerlang, kepimpinan berwawasan serta impak berpanjangan terhadap kemajuan sepak takraw antarabangsa.
"Dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah memberikan sokongan institusi yang tegas serta kepimpinan dasar strategik bagi Piala Dunia ISTAF 2024, yang berlangsung dari 18 hingga 26 Mei 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur serta komitmen berterusan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia ISTAF 2026 di Kuala Lumpur dari 15 hingga 24 Mei 2026," menurut kenyataan itu.
ISTAF turut mengakui kepimpinan Hannah telah memastikan penyelarasan antara agensi yang kukuh, penyertaan antarabangsa yang meluas serta standard penganjuran dan profesionalisme pada tahap tertinggi.
Susulan rombakan Kabinet bulan lepas, Hannah digantikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


