Keputusan AGC tidak teruskan 47 pertuduhan terhadap Zahid cetus persoalan ketelusan – Ramkarpal

Ramkarpal persoal mengapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi 2022 tidak diambil kira. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan tindakan terhadap 47 pertuduhan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, disifatkan tidak memberi keyakinan serta menimbulkan persoalan serius mengenai tahap ketelusan siasatan yang dijalankan.
Ringkasan AI
- AGC digesa jelaskan keputusan menggugurkan 47 pertuduhan terhadap Zahid Hamidi tanpa justifikasi terperinci.
- Ramkarpal persoal mengapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi 2022 tidak diambil kira.
- Keputusan DNAA tanpa penjelasan kukuh boleh jejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Menurut beliau, kes berkenaan bukanlah satu kes yang tiada dapatan, sebaliknya Mahkamah Tinggi telah memutuskan wujud kes prima facie terhadap Ahmad Zahid selepas pendakwaan menutup kes mereka pada 2022, selepas perbicaraan berlangsung hampir empat tahun sejak 2019.
“Dapatan tersebut dibuat selepas ramai saksi pendakwaan memberi keterangan dan berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri.
"Secara undang-undang, tertuduh ketika itu wajib membela diri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Ramkarpal menegaskan, keputusan untuk memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap semua 47 pertuduhan pada 4 September 2023 menimbulkan persoalan besar, memandangkan wujud dapatan prima facie yang belum dipatahkan melalui proses pembelaan.
Beliau berpandangan kenyataan AGC setakat ini tidak mempunyai kandungan yang mencukupi dan sekadar menyatakan kepuasan bahawa kes tersebut tidak wajar diteruskan tanpa justifikasi terperinci.
Sehubungan itu, Ramkarpal menuntut AGC menjelaskan mengapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid kini dianggap tidak lagi mempunyai nilai, sedangkan dapatan tersebut dibuat berdasarkan bukti yang dibentangkan oleh AGC sendiri di mahkamah.
“Jika AGC gagal memberikan penjelasan yang memuaskan, ia berisiko menghakis lagi keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut, sesuatu yang tidak wajar dan perlu dielakkan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


