TOKYO: Sampel air laut yang diambil setelah pelepasan air sisa terawat dari loji nuklear Fukushima, Jepun menunjukkan paras radioaktif yang masih dalam keadaan selamat, ujar pengendali TEPCO pada JUmaat.

AFP melaporkan, pelepasan kira-kira 1.34 juta tan air dari loji itu pada Khamis, yang terkumpul di lokasi itu yang dibadai tsunami sejak 12 tahun lalu, membuatkan China mengharamkan semua import makanan laut dari Jepun.

Ujian dan penelitian oleh pihak TEPCO sejak Khamis petang, sejurus pelepasan air sisa itu ke Lautan Pasifik bermula, menunjukkan bahawa paras radioaktif yang ditunjukkan adalah dalam julat selamat.

"Kami mengesahkan bahawa nilai analisis itu bersamaan dengan yang sudah diperkirakan, iaitu di bawah paras 1,500 bq/L," ujar jurucakap TEPCO, Keisuke Matsuo.

Becquerel per liter merupakan bacaan paras radioaktif, dengan standard keselamatan kebangsaan ditetapkan pada 60,000.

"Hasilnya adalah sama dengan simulasi kami yang terdahulu, dan masih di dalam had selamat. Kami akan terus menjalankan analisis setiap hari selama sebulan. Malah selepas itu, kami akan meneruskan usaha analisis kami.

"Kami akan memberikan penjelasan yang ringkas, mudah difahami dan kami berharap dapat menangani kebimbangan umum," jelasnya.

BACA: Restoran sushi Hong Kong masih dipenuhi pelanggan, tidak ramai peduli isu air loji Fukushima

Kementerian Alam Sekitar Jepun berkata, pihaknya telah mengumpul sampel air laut dari 11 lokasi berbeza pada Jumaat, sementara hasil analisis akan didedahkan pada Ahad ini.

Agensi perikanan juga sudah menjalankan penelitian terhadap sampel-sampel ikan yang ditangkap berdekatan dengan paip pelepasan air sisa loji Fukushima.

"Dengan menyiarkan data setiap hari secara telus, kami akan menunjukkan bahawa tindakan kami adalah berasaskan bukti saintifik," kata Menteri Perdagangan dan Industri, Yasutoshi Nishimura.