Kini, kedua-dua gergasi itu menerima amaran daripada ‘permata’ Asia, Samsung yang telah melonjak ke tempat pertama pengeluar telefon mudah alih di dunia. Kehadiran Samsung dilihat dapat memberikan persaingan dalam industri teknologi mudah alih dan sekaligus menguntungkan pengguna.
Samsung terus menjadi perhatian ramai apabila minggu lepas ia melancarkan telefon pintar yang dinanti-nantikan, Galaxy S4 dalam satu majlis gilang-gemilang di New York. Telefon pintar yang dilengkapi dengan pelbagai fungsi baru itu menjadikannya satu tamparan pasaran peranti mudah alih.
Google dan Apple pula masih lagi mencuba memenangi hati pengguna dengan konsep generasi baru gaya hidup pengkomputeran dengan Google Glass dan iWatch.
Galaxy S4 dilancarkan di New York
Pada 2012, Samsung telah membiarkan Apple dalam keadaan ‘tidak senang duduk’ apabila menguasai 30.3% pasaran, satu peningkatan signifikan daripada 19% pada 2011 sepertimana yang dinyatakan dalam laporan IDC. Manakala Apple sekadar selesa dengan 19.1% pegangan pasaran berbanding 18.8% tahun sebelumnya. Januari lalu, Samsung dilaporkan mencatat peningkatan 76% keuntungan yang disokong oleh sambutan hangat pengguna terhadap telefon pintar model Galaxy dan komputer tablet. Ini merupakan pencapaian terbaik Samsung apabila mencatatkan keuntungan buat lima suku tahunan berturut-turut.
Apple ‘tak senang duduk’
Adakah Apple rasa terancam dengan prestasi Samsung? Sehari menjelang pelancaran Galaxy S4, Ketua Pemasaran Apple, Phil Schiller telah ditemubual dan memberikan reaksi negatif terhadap Samsung dan Android. Jarang sekali industri teknologi memperlihatkan ‘serangan’ kepada pesaing menjelang pelancaran produk mereka. Bercakap kepada media, Schiller menyifatkan Android adalah sebuah platform ‘separuh masak’ kerana ia melibatkan banyak peranti dan kemaskini perisian yang amat perlahan berbanding platform iOS. Schiller juga menambah, ramai pengguna Android masih belum menerima kemaskini terbaru platform itu dan teknologinya ketinggalan satu hingga dua tahun ke belakang.
Ketua Pemasaran Apple, Phil Schiller sifatkan
Android sebagai platform ‘separuh masak’
Android sebagai platform ‘separuh masak’
Schiller turut berkongsi kaji selidik mengenai hampir separuh pengguna i-OS yang menggunakan versi terkini platform itu. Schiller juga menyampaikan khabar angin bahawa Galaxy S4 akan dijual dengan platform Android yang tidak dikemaskini. Malangnya, khabar angin itu tidak benar apabila ketika pelancaran, Galaxy S4 didatangkan dengan Android Jelly Bean 4.2.2. Ramai beranggapan kata-kata Schiller ini satu kesalahan yang disengajakan.
Dalam satu kenyataan lain, bekas Pengarah Apple, Jean-Louis Gassée, menyifatkan Apple sudah hilang punca apabila menghentam Samsung. Bagi sebuah jenama yang disanjung tinggi, Apple tidak sepatutnya ‘cakap belakang’ mengenai pesaingnya itu, terutamanya dengan menyebarkan khabar angin apatah lagi ia tidak benar sama sekali. Jika anda masih ingat akan kempen pemasaran Apple yang memerli pesaingnya beberapa ketika dulu, Gassée turut menganggap kempen itu tidak ada ‘kelas’ dan sangat ‘murah’.
Google mahu sekat penguasaan Samsung?
Galaxy S4 menerima pelbagai reaksi daripada pemerhati teknologi; ada yang mengatakan ia sekadar kemaskini ‘biasa-biasa’ sahaja dan tidak kurang juga melihatnya sebagai inovasi pintar oleh Samsung.
Samsung bukan sekadar ‘ancaman’ kepada Apple, malah kejayaan Samsung telah membuatkan Google gelisah. Situasi ini jika diamati, sememangnya sangat menarik, apatah lagi Samsung merupakan rakan kerjasama terbesar Google dan Android telah menyumbang kepada kejayaan gergasi teknologi Korea itu. Samsung berjaya menjual 4 daripada 10 telefon pintar yang menggunakan Android di seluruh dunia. Menariknya, ketika pelancaran Galaxy S4, sumbangan Android langsung tidak disebut.
Menurut The Wall Street Journal, Google bimbang Samsung akan memanfaatkan kuasa pegangan pasaran dan ingin berunding dengan Google mengenai perjanjian sedia ada serta memohon jumlah peratusan bisnes pengiklanan mudah alih Google yang lumayan. Itu ancaman yang ditakuti oleh Google.
Penganalisis menyifatkan lama kelamaan, Samsung akan menggunakan kelebihan kuasa pasaran yang ada padanya untuk berunding mendapatkan keuntungan yang lebih daripada Google.
Pemilikan Google ke atas Motorola Mobility
demi menyekat perkembangan Samsung
demi menyekat perkembangan Samsung
Melihatkan kepada ancaman ini, Google berharap peranti Android keluaran HTC dan Hewlett-Packard dapat memberikan persaingan kepada Samsung. Bekas Ketua Pembangun Android, Andy Rubin berkata dengan pemilikan Google ke atas Motorola Mobility dapat dijadikan ‘senjata’ dalam mengawal perkembangan Samsung ke atas pasaran. Secara khususnya, Google berharap peranti terbaru Motorola, X Phone dapat bersaing dengan model telefon pintar Galaxy daripada Samsung.
Persaingan? Pengguna yang untung
Kenyataannya, landskap pasaran teknologi mudah alih terus berkembang dan menjadi bertambah rumit. Walaupun sahamnya merudum baru-baru ini, Apple terus menghasilkan peranti mudah alih yang paling dikagumi di dunia, dan masih menguasai 70% keuntugan industri telefon pintar.
Sistem operasi Android pula terus menguasai pasaran perisian mudah alih global. Dan kini, kedua-dua Apple dan Google menghadapi cabaran yang semakin sengit daripada Samsung, yang bergerak dengan agresif untuk memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju telefon pintar dunia.
Jika dapat dirumuskan, lebih banyak persaingan bermakna lebih banyak inovasi. Dengan tiga gergasi teknologi ini saling berusaha untuk mengatasi sesama sendiri menjadikan industri ini meriah dan rancak - dan ketika itu, juara sebenar bukanlah Apple, Samsung mahupun Google tetapi PENGGUNA.
___________________________________________
Shahrul Izwan Naser merupakan seorang penerbit di Astro AWANI.