KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu mendedahkan ada dalam kalangan pelanggan doktor sebuah klinik swasta di Marang sanggup disuntik dengan air garam bagi mendapatkan sijil vaksinasi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata ia susulan keterangan daripada 23 individu yang mendapatkan perkhidmatan daripada doktor berkenaan.

Jelasnya individu berkenaan mengaku tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 walaupun status MySejahtera sudah merekod penerimaan vaksinasi.

“Yang uniknya sesetengahnya ambil suntikan air suling atau air garam kerana hendak menunjukkan kononnya ada kesan. Selepas itu confident diri, kalau orang tanya  katanya dah suntik tetapi bukan vaksin tapi air garam atau air suling,” katanya.

Dalam pada itu Rohaimi  berkata menerusi maklumat yang diterima, penjawat awam,  kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan orang persendirian adalah antara individu yang dikesan mendapatkan sijil vaksinasi palsu daripada doktor berkenaan.

Bagaimanapun  kesahihannya bergantung kepada siasatan yang masih dijalankan.

“Saya telah mendapat panggilan daripada syarikat-syarikat yang besar memaklumkan pekerja mereka ada mendapat sijil  MySejahtera daripada klinik tersebut dan jadi  kita menunggu sekiranya kita comfirmkan setiap nama adalah mengaku tidak mengambil suntikan maka tindakan dalaman (akan diambil) untuk peringkat mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, setakat ini tujuh individu termasuk seorang doktor yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu telah ditahan bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan sementara menunggu arahan daripada pihak pendakwaan.

Jelasnya lagi setakat ini juga hanya klinik swasta berkenaan dikesan terlibat dalam kegiatan berkenaan dan doktor berkenaan juga menjalankan proses itu secara bersendirian di kliniknya.

Terdahulu polis Terengganu berjaya membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu susulan penahanan seorang doktor yang  pada 8 Januari lalu.

Kegiatan itu dipercayai telah dilakukan sejak September tahun lalu dengan mengenakan caj bayaran antara RM400 hingga RM600.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.