Sangkaan gurauan lemas oleh rakan-rakan yang tidak mengendahkan jeritannya menyebabkan seorang lelaki mati lemas ketika mandi di Pantai Paka berdekatan Chalet Gelombang dekat sini.

Allahyarham Mohd Khairul Adamy Abas, 24, berasal dari Sungai Tong Setiu sebelum itu dikatakan menjerit meminta tolong dan panik setelah berenang ke tengah laut menggunakan pelampung pukat yang ditemui.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang Khamis dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Paka.

Menurut rakan mangsa, Najib Norkaferi,19, mereka bertiga ke pantai berkenaan kira-kira jam 5.30 petang dan bermain air di tepi pantai.

“Mula-mula kami ingatkan dia hanya bergurau kerana pada mulanya jeritan arwah tidak seberapa. Tetapi kemudian arwah pegang pelampung dan kakinya sudah tidak menjejak pasir dan mula meminta tolong.

Kami pun berhehas meminta pertolongan daripada orang lain,” ujarnya.

Beberapa nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian kemudiannya menggunakan bot untuk menyelamatkan mangsa sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran dan disahkan meninggal dunia..

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di kampung asalnya.