awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Iran dan AS akan adakan perbincangan nuklear Jumaat ini
PM UK arah siasatan segera skandal bekas duta dengan Epstein
16 maut ketika gelombang cuaca beku berpanjangan di New York
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Santuari ikan pertama di N. Sembilan beroperasi tahun depan - JPNS

Bernama
Bernama
22/08/2021
09:48 MYT
Santuari ikan pertama di N. Sembilan beroperasi tahun depan - JPNS
Projek itu bertujuan memelihara dan memulihara serta memperkaya pelbagai spesies ikan di perairan negeri daripada diancam kepupusan. - Gambar hiasan/Bernama
SEREMBAN: Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) komited untuk mewujudkan sebuah pusat konservasi atau santuari dan pusat penetasan ikan di Sungai Kenaboi, Jelebu yang dijadualkan beroperasi awal tahun hadapan.
Pengarah JPNS Saleh Awaludin berkata, projek melibatkan kos kira-kira RM120,000 itu bertujuan memelihara dan memulihara serta memperkaya pelbagai spesies ikan di perairan negeri daripada diancam kepupusan khususnya spesis yang jarang dijumpai termasuk kelah.
Beliau berkata projek itu kini dalam peringkat pembinaan infrastruktur dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Jabatan Kemajuan Orang Asli negeri serta beberapa agensi lain.
"Tujuan utama adalah untuk memperkaya semula sungai kita dengan spesies ikan tempatan dan pada peringkat awal ini, kita pilih Sungai Kenaboi kerana sumber airnya yang bersih serta tidak tercemar.
"Lokasi itu juga kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan berdasarkan rekod, Sungai Kenaboi dahulu terdapat banyak kelah, tetapi sekarang makin sukar ditemui susulan kegiatan manusia berburu secara haram," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan baka ikan untuk dibiakkan di santuari itu dibekalkan oleh jabatan perikanan negeri dan Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) di Jelebu.
Saleh berkata santuari itu juga berperanan memastikan kawasan hutan terpelihara selain spesies ikan asal yang mendiami kawasan berkenaan kekal menghuni dan jika ia berjaya, projek sama akan dilakukan di sungai lain di negeri ini.
Beliau berkata santuari ikan itu turut berpandukan konsep Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor dan Taman Negeri Royal Belum di Perak yang dilihat berjaya memastikan spesis ikan dipulihara dan kekal pada habitatnya.
Katanya kewujudan santuari dan pusat penetasan ikan itu juga mampu menjadi tarikan baharu untuk menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negeri sekali gus mempertingkatkan sektor ekopelancongan dan ekonomi setempat.
Sementara itu, Saleh berkata usaha memulihara populasi ikan khususnya spesis terancam dan jarang ditemui juga memerlukan kerjasama masyarakat Orang Asli berikutan mereka adalah kelompok masyarakat yang paling hampir dengan sungai berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan alatan renjatan elektrik, menuba dan bom yang boleh menyebabkan kepupusan sumber ikan selain tidak menceroboh kawasan yang digazetkan sebagai hutan yang dilindungi.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#ikan
#santuari ikan
#pusat konservasi
#spesies ikan
#sungai kenaboi
#Jelebu
#pusat penetasan
#saleh awaludin
#spesies tempatan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan