SELAYANG: Seorang pemimpin Pas mendakwa proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilakukan kerana tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Datuk Awang Hashim berkata, apa yang berlaku itu adalah proses undang-undang dan pernah dihadapi parti itu sejak dahulu.

"Kita serah kepada proses undang-undang. Tidak ada masalah. Cuma, kita nak bagi sokongan solidariti di atas pentas politik yang kita tengah hadapi PRN enam negeri ini, yang jadi klimaks.

"Kita tengok sekarang di Kedah, punca kepada ini disebabkan oleh PRN. Bab jejas (sokongan kepada PN) atau tidak, kita tidak mahu komen, kita serah kepada proses undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari ini.

Tambah beliau, dakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah itu bukan berkisar kepada "kawal mulut".

"Ini bukan masalah kawal mulut atau apa. Tidak ada apa. Apabila kita bertemu dalam pentas politik, selesai cara politik. Ini biasa.

"Dulu PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum jadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pun sama.

"Dia (Muhammad Sanusi) sudah minta maaf. Tetapi apabila ada tekanan... Menteri Undang-Undang boleh buat kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Dalam Negeri buat kerja Menteri Undang-undang. Semua ini hanya proses.

"Kalau kita tengok dahulu pun, PMX pernah ditarik balik pingat dia," ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Pendang itu, apa yang berlaku adalah pengajaran, bukan hanya untuk Muhammad Sanusi tapi untuk orang lain juga.

Muhammad Sanusi didakwa berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Menerusi semakan sistem laman mahkamah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu didakwa di dua mahkamah iaitu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh pagi ini.