SABAK BERNAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua pihak perlu menghormati proses undang-undang susulan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Mahkamah Sesyen Selayang  pada Selasa.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak campur tangan berhubung pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi, sebaliknya, laporan dibuat oleh Dewan Diraja Selangor sebelum siasatan dimulakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Itu (kes Sanusi) biar ikut proses… Dewan Diraja Selangor buat laporan, polis buat siasatan, Peguam Negara putuskan buat pendakwaan.

"Jadi saya tak mahu campur, biar ikut proses. Saya minta orang teliti apa dia pendakwaannya, pertama tentunya apa laporan Dewan Diraja Selangor.

"Kemudian apa alasan Peguam Negara setelah melihat siasatan oleh PDRM, jadi kita hormat proses mahkamah," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan program Sentuhan Agro MADANI peringkat Negeri Selangor di Sekinchan pada Selasa.

Mengulas mengenai Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap Muhammad Sanusi, ujar Anwar, beliau berpegang kepada prinsip mengelakkan akta terbabit digunakan.

Namun, tegas Perdana Menteri, sekiranya melibatkan kenyataan terhadap institusi Raja-Raja, perkara itu terpulang kepada pihak pendakwaan.

"Saya dari segi dasarnya kita elak penggunaan ini Akta Hasutan 1948… tapi yang ini bila menyentuh soal Raja-Raja, kalau mengkritik Perdana Menteri saya tak pernah gunakan satu alasan.

"Ini soal kedudukan dan martabat Raja-Raja yang harus kita pelihara dan sanjung, elak daripada menjadi suatu wacana perbahasan politik tidak sihat," katanya lagi.

Pada pagi ini, Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Selayang.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Menteri Besar Kedah itu didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes