KUALA LUMPUR: Ahli-ahli dan penyokong Pas diminta untuk bertenang dan menghormati proses undang-undang susulan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, awal pagi tadi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti berkenaan mengikuti rapat perkembangan melibatkan penahanan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN)  itu.

"Pas mengikuti dengan cermat perkembangan kes melibatkan Muhammad Sanusi yang dilaporkan telah ditahan oleh pihak PDRM untuk didakwa di mahkamah hari ini.

"Pas menyarankan semua pihak, khususnya para ahli dan penyokong, supaya bertenang dan menghormati proses perundangan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan polis menahan Muhammad Sanusi untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Penahanan dibuat pada sekitar pukul 3 pagi oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Mont Kiara.

Menteri Besar Kedah itu akan didakwa di mahkamah Selayang pada jam 9 pagi ini.

Muhammad Sanusi dijangka menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15].

Sanusi ditahan polis 3 pagi

Menerusi semakan sistem dalam talian mahkamah terdapat nama Muhammad Sanusi Md Nor yang akan didakwa di dua mahkamah sesyen berbeza di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

[TERKINI] Menteri Besar Kedah didakwa di Mahkamah Selayang hari ini